Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Laluan hijau tingkat kecekapan ketibaan penumpang di KLIA 1 – Loke
  • NASIONAL

Laluan hijau tingkat kecekapan ketibaan penumpang di KLIA 1 – Loke

Utusan Sarawak 4 hours ago
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke (enam, kiri) bergambar kenangan selepas membuat tinjauan sempena pelaksanaan Green Lane di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini. Turut kelihatan timbalannya Datuk Hasbi Habibollah (lima, kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan (lima, kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani (enam, kanan). Foto Bernama

SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) hari ini memulakan pelaksanaan konsep laluan hijau bagi penumpang antarabangsa sebagai usaha mempercepat proses keluar di balai ketibaan dan mengurangkan kesesakan terutamanya di kawasan tuntutan bagasi.

Inisiatif itu dilaksanakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), dengan laluan berkenaan membolehkan penumpang tidak membawa barangan untuk diisytiharkan terus keluar ke balai ketibaan, sekali gus memendekkan masa menunggu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selain dua laluan hijau, satu laluan merah turut disediakan bagi membawa barangan yang perlu diisyitiharkan bagi tujuan pemeriksaan dan pembayaran duti.

“Sebelum ini, proses yang kita lakukan ialah semua (penumpang) akan pergi ke satu laluan dan kadang-kadang pihak kastam akan meminta bagasi melepasi mesin pengimbas. Kita dapati bahawa ada sedikit kelewatan menyebabkan laluan yang panjang dan sesak.

“Selepas beberapa perbincangan antara MAHB, AKPS dan kastam, semua pihak bersetuju untuk kita memperkenalkan satu konsep yang pernah dilaksanakan dulu tetapi sekarang ini kita tambah baik lagi untuk memperkenalkan tiga laluan,” katanya selepas mengadakan tinjauan sempena pelaksanaan laluan hijau di KLIA T1 hari ini.

PENUMPANG pesawat yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 melalui laluan Green Lane ketika tinjauan Bernama hari ini. Foto Bernama

Bagaimanapun, Loke memberi jaminan bahawa pelaksanaan laluan hijau ini tidak menjejaskan aspek keselamatan negara.

“Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini sama sekali tidak mengkompromikan keselamatan negara, iaitu walaupun ada laluan hijau ini tidak bermaksud pegawai atau anggota AKPS tidak boleh menahan atau memeriksa penumpang,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, pergerakan penumpang lebih lancar dan memudahkan urusan, selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka menyaksikan pertambahan pelancong.

Laluan hijau dilaksanakan sebagai projek perintis selama sebulan hingga 26 Februari depan bagi menilai keberkesanan sistem sebelum prosedur operasi standard dimuktamadkan dan menurut Loke, sekiranya ia berjaya, konsep sama akan diperluas ke KLIA Terminal 2 serta lapangan terbang antarabangsa lain iaitu di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Jadi kita harap inisiatif ini akan dapat menambah baik lagi kecekapan di KLIA T1 dan memang ini adalah antara penambahbaikan yang kita akan teruskan. Dalam tempoh beberapa bulan ini kita dah lihat KLIA, di bawah seliaan MAHB memang banyak inisiatif dilaksanakan supaya operasi lebih lancar,” katanya, sambil menambah inisiatif berkenaan tidak melibatkan penambahan anggota penguat kuasa. – Bernama

Continue Reading

Previous: Had umur 16 tahun untuk media sosial dijangka dikuatkuasakan Julai – Teo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.