Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • RUU penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak perlu dibentang segera — PERANTIS
  • TEMPATAN

RUU penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak perlu dibentang segera — PERANTIS

Utusan Sarawak 8 hours ago
PENGASAS yang juga Penasihat Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS), Wellie Henry Majang.

SIBU: Kerajaan Persekutuan digesa memberi keutamaan segera kepada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bagi mengembalikan kedudukan kedua-dua wilayah itu sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.

Pengasas yang juga Penasihat Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS), Wellie Henry Majang berkata, langkah tersebut penting susulan pewartaan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2022.

Beliau berkata, pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu memberi manfaat dalam menjelaskan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun masih memerlukan pindaan susulan khususnya terhadap Perkara 160(2) berkaitan tafsiran ‘The Federation’.

“Buat pertama kali MA63 diiktiraf secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini membolehkan kerajaan Persekutuan merujuk semula secara terperinci kepada janji-janji yang dimeterai melalui Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wellie, pengiktirafan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia mesti diterjemahkan secara praktikal melalui penambahan sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen bagi memulihkan nisbah satu pertiga kerusi seperti yang dipersetujui sebelum Singapura keluar dari Malaysia.

Beliau berkata, tanpa nisbah tersebut, sebarang pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga boleh diluluskan tanpa mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Pengiktirafan wilayah Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan mestilah disusuli dengan penggubalan undang-undang berkaitan pembahagian kuasa yang lebih seimbang serta peruntukan pembangunan yang lebih adil,” katanya.

Wellie turut merujuk titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata, titah berkenaan menjadi peringatan penting agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berteraskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara wilayah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar RUU penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak dibentangkan tanpa lengah pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

“Penambahan kerusi Parlimen bukan sekadar retorik politik, sebaliknya satu keperluan mendesak untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak yang telah terhakis sejak sekian lama di bawah MA63,” katanya.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Jabatan Persekutuan di Sarawak ditawar sewa bangunan kerajaan negeri kosong
Next: APM Samarahan tingkat rondaan, pantau kawasan berisiko banjir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.