
KUCHING: Seramai 32 pelajar dari kawasan Tabuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerima sumbangan galakan sebagai penghargaan terhadap usaha dan pencapaian akademik mereka.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTY), Datuk Hazland Abang Hipni, sempena Program Kempen Gotong-Royong Membersih Kampung Tabuan Melayu dan Taman Tabuan 2026 di Dewan Kampung Tabuan Hilir, hari ini.
Menurut beliau, pemberian sumbangan itu mencerminkan semangat gotong-royong yang diguna pakai untuk tujuan membantu sesiapa yang perlukan bantuan dalam konteks pendidikan, di mana kejayaan anak-anak kampung diraikan dan dibantu secara bersama.
“Kalau kita bergotong-royong, yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Semangat gotong-royong bukan hanya dalam membersihkan kampung, tetapi juga dalam membantu anak-anak kita berjaya dalam pendidikan,” katanya.
Ketika ditemui pemberita, beliau menjelaskan bahawa inisiatif galakan pendidikan tersebut telah dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu dan menunjukkan peningkatan ketara dari segi jumlah penerima.

“Program ini bermula sekitar 2012. Pada awalnya, hanya sekitar 60 hingga 70 pelajar setahun yang berjaya memasuki IPT. Namun dengan banyak program pendidikan, sokongan PIBG, peningkatan dana dan galakan berterusan, jumlah itu kini mencecah lebih 200 pelajar setahun,” katanya.
Beliau berkata, data pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian turut direkodkan bagi tujuan pemantauan, termasuk laluan kerjaya mereka selepas tamat pengajian, supaya bantuan dan sokongan dapat diteruskan secara lebih tersusun.
Tambahnya, usaha tersebut selari dengan komitmen kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional, khususnya dalam bidang teknologi dan pembangunan masa hadapan negeri.
Oleh Shikin Mahmud