KUCHING: Bekalan sumber elektrik di 15 buah premis di kawasan kawasan Batu 7, Batu 10, MJC dan Matang dipotong Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan dengan kerjasama Syarikat Sesco Berhad kerana terlibat dengan aktiviti perjudian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superitenden Lim Jaw Shyong berkata, 15 premis tersebut jika dilihat dari sudut luaran sememangnya menjalankan peniagaan yang berdaftar dan sah.
Bagaimanapun katanya, terdapat aktiviti ibarat ‘udang disebalik batu’ dijalankan oleh pemilik premis iaitu turut terlibat dalam kegiatan loteri awam tanpa lesen (4D) atau judi atas talian yang sememangnya salah di sisi undang-undang.
“Pemilik premis yang terlibat ini akan didakwa di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, menerusi kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lesen lapan premis yang dikenalpasti sebelum ini turut tidak diperbaharui.
“Ini merupakan tindakan julung kalinya di Sarawak dan angka ini akan meningkat pada masa hadapan malahan permohonan membatalkan lesen perniagaan sah yang didaftarkan ke atas semua premis-premis ini akan dibuat dari masa ke semasa,” tegasnya.
Beliau menambah, bagi tempoh 1 Januari hingga 25 September tahun ini, sebanyak 85 premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik.
“Sebanyak 322 serbuan berjaya dilaksanakan dengan tangkapan seramai 424 orang yang teridiri daripada penjaga dan pemain judi.
“Seramai 113 orang telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan dibawah Ops Dadu,” katanya.
Jaw Shyong turut memberi amaran dan mengingatkan orang ramai bahawa sesiapa yang terlibat dengan kegiatan perjudian secara haram boleh dikenakan tindakan dibawahAkta Rumah Judi Terbuka 1953.
“ Dibawah akta ini iaitu mengikut Seksyen 4A(a) Penganjur Loteri Awam Tanpa Lesen boleh didenda tidak kurang dari RM 20, 000 dan tidak melebihi RM200, 000 serta boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun.
“Seksyen 4(1)c Penganjur Judi Atas Talian pula membawa hukuman denda tidak kurang dari RM5, 000 dan tidak melebihi RM 50, 000 serta boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun dan boleh didenda tidak kurang dari RM5, 000 dan tidak melebihi RM50, 000 bagi setiap perkakas perjudian yang dirampas.
“Ini sejajar dengan arahan pucuk pimpinan PDRM dalam tindakan membanteras kegiatan perjudian,” ujarnya.
Di samping menjalankan operasi yang berterusan, beliau turut mengingatkan pelanggan atau kaki judi agar membuang tabiat ini yang hanya akan lebih mendatangkan keburukan.