Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sistem solar hibrid beri bekalan elektrik 24 jam, mudahkan pembelajaran
  • PENDIDIKAN

Sistem solar hibrid beri bekalan elektrik 24 jam, mudahkan pembelajaran

Utusan Sarawak 3 weeks ago
 GURU Besar SK Nanga Bangkit, Baling Unan.

SONG: Pelaksanaan sistem solar hibrid di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bangkit, Katibas Song membawa sinar perubahan kepada operasi sekolah serta kesejahteraan murid dan warga pendidik, khususnya dari segi bekalan elektrik yang kini dapat dinikmati sepanjang 24 jam.

Guru Besar SK Nanga Bangkit, Baling Unan berkata, sistem solar hibrid jauh lebih baik berbanding penggunaan jana kuasa diesel (genset) sebelum ini yang sering berdepan pelbagai kekangan.

“Manfaatnya memang banyak. Dulu kita guna genset, bekalan elektrik tidak menentu kerana bergantung kepada bekalan minyak serta keadaan genset yang kerap rosak. Sekarang, dengan Sistem Solar Hibrid, kita menikmati bekalan elektrik 24 jam,” jelasnya ketika ditemui di sekolah tersebut, semalam.

Menurutnya, sebelum ini pihak sekolah terpaksa melakukan catuan penggunaan elektrik berikutan kos minyak yang tinggi dan keupayaan genset yang tidak mampu beroperasi secara berterusan tanpa gangguan.

“Kadang-kadang genset rosak, kadang-kadang minyak habis. Jadi bekalan elektrik tidak sampai 24 jam. Keadaan ini menyukarkan urusan pembelajaran dan kehidupan murid di asrama,” katanya.

Beliau berkata, bekalan elektrik yang stabil kini membolehkan murid belajar dengan lebih selesa, terutama pada waktu malam, selain memudahkan pengurusan sekolah secara keseluruhan.

SK Nanga Bangkit mempunyai seramai 17 murid, dengan 15 daripadanya merupakan murid asrama manakala dua lagi murid harian.

Dalam pada itu, Baling yang telah berkhidmat sebagai Guru Besar di sekolah tersebut selama lima tahun berkata, peralihan daripada sistem genset kepada solar hibrid merupakan satu pengalaman yang amat bermakna buat beliau, apatah lagi menjelang persaraannya pada hujung tahun ini.

“Jika mengenang kesusahan dahulu, memang sedih. Terpaksa bercatu dan bergantung sepenuhnya kepada genset. Tetapi sekarang keadaannya jauh lebih mudah dan teratur,” katanya.

Beliau yang akan bersara wajib pada 8 Ogos ini menyifatkan pelaksanaan Sistem Solar Hibrid sebagai satu legasi penting dalam memastikan kelangsungan pembelajaran yang lebih selesa dan berkualiti di sekolah luar bandar.

PENOLONG Kanan Pentadbiran SK Nanga Bangkit, Katherine Suda Libau. 

Senada dengan itu, Penolong Kanan Pentadbiran SK Nanga Bangkit, Katherine Suda Libau berkata, sistem catuan sebelum ini menyebabkan bekalan elektrik hanya dibekalkan antara lapan hingga 12 jam sehari, bergantung kepada keadaan.

“Pada waktu malam, bekalan elektrik biasanya dipadam dari 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi. Jadi pada awal pagi memang tiada elektrik,” ujarnya.

Katanya, keadaan tersebut bukan sahaja menyukarkan urusan harian, malah menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan murid asrama.

“Pada 5.00 pagi masih gelap tetapi elektrik sudah tiada. Murid bangun awal untuk bersiap dan mandi, jadi kami memang risau dari aspek keselamatan,” katanya sambil menambah murid terpaksa menggunakan lampu suluh ketika bergerak dan mandi.

Dengan pelaksanaan Sistem Solar Hibrid, Katherine berkata, suasana pembelajaran kini jauh lebih kondusif apabila kemudahan elektrik dapat digunakan sepenuhnya sepanjang masa.

“Sekarang bekalan elektrik ada 24 jam. Ia banyak membantu pembelajaran kerana kemudahan seperti televisyen dan komputer boleh digunakan tanpa gangguan,” katanya.

TIGA pelajar SK Nanga Bangkit, Dereskson Jeddy ketika ditemui pemberita, sambil ditemani oleh rakan-rakannya Emliton Ferus (kiri) dan Amanda Guchi Georstin Pasang (kanan).

Sementara itu, tiga murid sekolah tersebut, Amanda Guchi Georstin Pasang, Emliton Ferus dan Dereskson Jeddy berkongsi kegembiraan dengan pelaksanaan sistem solar hibrid di sekolah mereka.

Menurut mereka, kemudahan tersebut memberi semangat baharu untuk belajar dalam suasana yang lebih selesa.

“Selepas ini, kami tidak lagi perlu menggunakan lampu suluh untuk mandi dan bersiap ke sekolah. Kami sangat bersyukur,” kata mereka.

Oleh Akun Giman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: RPN 2026-2035: Silibus Tabika, Tadika KEMAS diselaras untuk kanak-kanak 3 dan 4 tahun
Next: Uggah perkasa pendidikan luar bandar, umum peruntukan RM1.5 juta naik taraf SK Saint John Nanga Tiga

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.