
SIBU: Pembukaan pejabat baharu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong mencerminkan kesinambungan komitmen parti itu dalam memperkukuh khidmat kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan Sarawak secara berterusan.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kewujudan pejabat parti bukan sekadar simbol fizikal, sebaliknya berfungsi sebagai pusat mendekati rakyat dan menyelesaikan isu di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, pejabat parti harus menjadi tempat berkhidmat kepada rakyat pada setiap masa dan bukan hanya ketika musim pilihan raya.
“Pejabat ini bukan untuk bermegah, tetapi sebagai pusat khidmat rakyat. Di sinilah kita mendengar masalah dan mencari penyelesaian demi kepentingan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap merasmikan pejabat baharu SUPP Dudong, di sini, hari ini.
Dr Sim yang juga Presiden SUPP berkata, parti itu kekal relevan sejak ditubuhkan pada 1959 kerana sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan dan khidmat kepada rakyat tanpa mengira perubahan landskap politik.
“SUPP telah melalui tiga generasi kepimpinan dan masih bertahan kerana kita tidak pernah meninggalkan rakyat. Inilah kekuatan sebenar parti,” katanya.
Beliau turut menegaskan kejayaan Sarawak hari ini adalah hasil kerjasama erat semua parti komponen Kerajaan Sarawak termasuk SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Menurutnya, Sarawak kini dihormati bukan hanya kerana kekayaan sumber semula jadi, tetapi kerana dasar dan pendekatan pembangunan yang dilaksanakan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Kekayaan Sarawak bukan untuk dibanggakan semata-mata, sebaliknya digunakan bagi mempercepatkan pembangunan agar Sarawak bergerak seiring, malah lebih maju daripada negeri lain,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Sim menekankan kepentingan kestabilan politik dan perpaduan dalam kalangan parti komponen kerajaan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan, khususnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Hanya dengan kestabilan politik dan kesatuan yang kukuh, Sarawak mampu mencapai Wawasan Sarawak 2030,” ujarnya.
Beliau turut menggesa seluruh jentera parti supaya terus bersatu dan bekerja keras demi memastikan Sarawak kekal maju serta makmur untuk generasi akan datang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sebastian Ting, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Pujut Adam Yi, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hing, Setiausaha penganjur SUPP Datuk Matthew Chen, Ketua Pemuda SUPP Kaunselor Kevin Lau, Ketua Wanita SUPP Kho Teck Wan, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong serta tetamu jemputan yang lain.
Oleh Tarani Lanting