
KUCHING: Program pengagihan 1,000 mangkuk bubur Laba di Pasar Kenyalang pagi ini mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian dan kebersamaan masyarakat majmuk di bandar raya ini, menurut Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata inisiatif berasaskan komuniti seperti itu berperanan penting dalam mengukuhkan hubungan sosial serta memupuk nilai saling menghormati dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Program sebegini bukan sahaja menyemarakkan semangat kebersamaan, malah memperlihatkan bagaimana amalan kebajikan yang sederhana mampu memberi impak besar kepada keharmonian komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program pengagihan bubur Laba yang dianjurkan oleh Persatuan Buddha Seng Tong sebagai sebahagian daripada aktiviti khidmat masyarakat tahunan persatuan berkenaan.
Dato Wee turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Buddha Seng Tong atas komitmen berterusan mereka dalam menyantuni masyarakat setempat serta mempromosikan nilai kasih sayang, keprihatinan dan muhibah.
Program berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang hadir, sekali gus mencerminkan sokongan komuniti terhadap usaha memperkukuh keharmonian sosial melalui aktiviti kebajikan.
MBKS, katanya, akan terus menyokong dan menggalakkan pelaksanaan program komuniti yang bersifat inklusif bagi memperkasa perpaduan, kesejahteraan sosial dan keharmonian dalam kalangan warga Kuching.
Oleh Shahrul Qaizat