Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • MBKS lancar Program Pembinaan Integriti Komuniti Sarawak
  • TEMPATAN

MBKS lancar Program Pembinaan Integriti Komuniti Sarawak

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran program tersebut, bersama Ketua Pegawai Sektor Korporat (KPSK) Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr Mona Othman (kiri) dan ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin (kanan) pada majlis pelancaran Program Pembinaan Integriti Komuniti (CIB) Sarawak di Auditorium MBKS, di Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) melancarkan Program Pembinaan Integriti Komuniti (CIB) Sarawak sebagai satu langkah penting ke arah membina bandar yang selamat, adil, jujur dan boleh dipercayai.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen MBKS untuk memperkukuh budaya integriti dalam pentadbiran tempatan melalui kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan komuniti.

“Melalui pelancaran Program CIB hari ini, kita sedang mengambil satu langkah yang tegas ke arah membina bandar yang mendengar suara rakyat, bersikap adil, jujur dan boleh dipercayai,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program tersebut di Auditorium MBKS, di sini, hari ini.

DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berucap pada majlis pelancaran Program Pembinaan Integriti Komuniti (CIB) Sarawak di Auditorium MBKS, di Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa 

Menurut beliau, integriti bukan sekadar slogan atau hiasan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam tindakan seharian termasuk cara perkhidmatan diberikan kepada rakyat, kelajuan tindak balas terhadap aduan, kejelasan prosedur, keadilan dalam membuat keputusan serta layanan yang penuh hormat kepada orang ramai.

“Inilah makna sebenar integriti di peringkat pihak berkuasa tempatan. Integriti MBKS mesti sesuatu yang boleh dirasai oleh rakyat, bukan sekadar didengar,” jelasnya.

Dato Wee turut menegaskan bahawa Program CIB tidak bertujuan mencari kesalahan atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem melalui penglibatan bersama antara pihak berkuasa tempatan, agensi dan komuniti.

Katanya, menerusi program itu, komuniti bukan lagi sekadar penerima perkhidmatan, tetapi rakan strategik dalam mengenal pasti isu, menetapkan tanggungjawab, memantau pelaksanaan serta memastikan penyelesaian dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan CIB di MBKS bertunjangkan tiga asas utama iaitu ketelusan, responsif dan akauntabiliti. 

Proses dan keputusan perlu mudah difahami, maklum balas awam perlu dilihat sebagai isyarat penting, manakala setiap isu mesti mempunyai pemilik dan tindakan susulan yang jelas.

“Rakyat tidak meminta kemewahan. Mereka hanya mahukan perkhidmatan yang konsisten seperti longkang bersih, jalan raya selamat, tindak balas pantas dan layanan yang hormat. Mereka mahukan bandar yang berfungsi dan sistem yang boleh dipercayai,” katanya.

“Dana yang digunakan adalah wang pembayar cukai. Oleh itu, rakyat berhak memastikan wang mereka dibelanjakan dengan betul dan memberikan perkhidmatan yang mereka perlukan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dato Wee menekankan bahawa integriti perlu dibentuk sejak usia muda dan menyifatkan kehadiran ahli Majlis Kanak-Kanak MBKS pada majlis tersebut sebagai satu simbol penting dalam membina kepimpinan masa depan yang berintegriti.

“Integriti bukan hanya tentang pentadbiran hari ini, tetapi tentang kepimpinan masa depan. Apa yang dipelajari dan diamalkan sekarang akan membentuk masa depan bandar dan negara,” ujarnya.

Selain itu, katanya, MBKS menyediakan pelbagai saluran rasmi untuk aduan awam termasuk aplikasi iPeople, talian WhatsApp aduan, perkhidmatan bergerak kaunselor setiap hujung minggu, talian aduan peribadi Datuk Bandar serta siaran langsung Datuk Bandar melalui Facebook setiap minggu.

Pada majlis tersebut, Dato Wee turut merakamkan penghargaan kepada Institut Integriti Malaysia (IIM), Unit Integriti dan Pelaburan serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas sokongan berterusan serta pemilihan MBKS sebagai salah satu pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam pelaksanaan CIB Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa pelancaran program itu membawa mesej jelas bahawa MBKS serius dalam memperkukuh integriti, membina perkongsian strategik dan memupuk nilai murni sejak usia muda.

oleh Adele Rissa 

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Ancaman buli siber dorong literasi perundangan pelajar
Next: Tun Wan Junaidi berkunjung ke gedung tekstil Kamdar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.