
KUCHING: Kerjasama strategik antara sektor kerajaan dan swasta menerusi program Shell LiveWIRE terus menjadi pemangkin utama dalam memperkasa ekosistem keusahawanan, inovasi dan pembangunan ekonomi inklusif di Malaysia, selari dengan aspirasi negara ke arah ekonomi berdaya saing dan mampan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, usahawan masa kini bukan sekadar pencetus idea, malah berperanan sebagai penyelesai masalah, pencipta pekerjaan dan pembina negara.
“Usahawan hari ini adalah pemacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial melalui idea kreatif dan inovatif yang mampu meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Kerajaan akan terus menyediakan asas dan ekosistem yang kondusif, namun kejayaan sebenar terhasil melalui kerjasama erat antara institusi awam, sektor swasta dan usahawan yang berani mengambil risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Shell LiveWIRE Malaysia di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Tambah beliau yang juga merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, kerjasama antara Shell Malaysia dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) merupakan contoh terbaik perkongsian awam dan swasta yang berjaya melahirkan usahawan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Inisiatif seperti Shell LiveWIRE telah memberi akses kepada pembiayaan, bimbingan, rangkaian dan pasaran sekali gus membantu perniagaan kecil dan sederhana berkembang serta menembusi pasaran global.
“Malaysia sedang muncul sebagai hab inovasi serantau dengan sokongan ekosistem keusahawanan merangkumi sektor digital, tenaga bersih, kesihatan, pertanian dan teknologi kewangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, menyatakan bahawa program Shell LiveWIRE di Sarawak kini memasuki tahun kesembilan pelaksanaannya dan telah memberi impak besar kepada pembangunan bakat serta inovasi tempatan.
Beliau yang merangkap Pengerusi TEGAS juga menegaskan bahawa kerjasama berterusan antara TEGAS dan Shell Malaysia membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa usahawan Sarawak melalui latihan, bimbingan, program pecutan dan jaringan industri.
“TEGAS berperanan sebagai pemangkin yang menghubungkan usahawan, industri dan agensi kerajaan bagi membentuk ekosistem inovasi yang dinamik dan inklusif.
“Ramai alumni Shell LiveWIRE hari ini berjaya mengembangkan perniagaan, memenangi anugerah serta menembusi pasaran di dalam dan luar negara,” ujarnya.

Program Shell LiveWIRE Malaysia merupakan inisiatif global Shell yang menyokong pembangunan usahawan muda dan perusahaan kecil melalui latihan keusahawanan, bimbingan mentor serta akses kepada peluang pembiayaan dan rangkaian perniagaan.
Majlis tersebut turut meraikan Top 15 finalis kebangsaan dan Top Five pemenang Shell LiveWIRE Malaysia 2026 yang menunjukkan kecemerlangan dalam inovasi, impak sosial dan potensi pertumbuhan perniagaan.
Oleh Masrin Affirah