
KOTA KINABALU: Pengoperasian talian sambung tara bagi Integrasi Grid Kuasa Sarawak–Sabah disifatkan sebagai pencetus utama kepada pembangunan Grid Kuasa Borneo dan seterusnya menyokong merealisasikan Grid Kuasa ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, walaupun usaha perkongsian tenaga di rantau ini telah dimulakan, namun masih belum wujud satu kerangka kerjasama pelbagai hala yang menyeluruh dalam kalangan 11 negara anggota ASEAN bagi membangunkan sistem grid kuasa serantau yang bersepadu.
Menurut beliau, ASEAN perlu mempunyai model sedemikian kerana terdapat banyak pertimbangan perundangan serta kepentingan nasional yang perlu diambil kira.

“Sebenarnya, kita telah pun memulakannya dan saya berpeluang menyuarakan pandangan kita semasa Sidang Kemuncak Tenaga di Putrajaya sebelum ini.
“Pandangan kita ialah, pada masa ini masih belum wujud satu kerangka kerjasama dalam kalangan 11 negara anggota ASEAN.
“Saya turut mencadangkan agar ASEAN meneliti model interkoneksi tenaga elektrik di Kesatuan Eropah. Kita bukan sahaja boleh merujuk kepada Kesatuan Eropah, malah juga negara-negara Nordik yang membekalkan tenaga elektrik melalui kabel dasar laut.

“Oleh itu, kita tidak perlu mencipta sesuatu yang baharu, sebaliknya boleh menjadikan kerjasama tenaga di Eropah sebagai model untuk ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Pengoperasian Interkoneksi Grid Kuasa Sarawak–Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta tetamu kenamaan lain.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, integrasi grid kuasa Sarawak-Sabah yang telah beroperasi kini menjadi titik permulaan penting kepada pembentukan Grid Borneo, selain disokong oleh interkoneksi sedia ada antara Sarawak dan Kalimantan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak telah bersetuju untuk membekalkan tenaga elektrik ke Brunei yang akan menjadi teras kepada Grid Borneo, selain potensi sambungan ke selatan Filipina serta persetujuan membekalkan tenaga elektrik ke Singapura.
“Dengan kata lain, usaha ini telah pun bermula. Namun, kebanyakan inisiatif ini masih bersifat dua hala dan bukannya pelbagai hala.
“Apa yang diperlukan ialah satu kerangka kerjasama pelbagai hala dalam kalangan 11 negara anggota ASEAN. Sekurang-kurangnya, kita boleh bermula dengan Grid Borneo. Oleh itu, adalah penting untuk kita merancang dan memetakan masa depan tenaga di Borneo,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai perancangan tenaga Sarawak, beliau berkata negeri itu berada pada kedudukan yang sangat strategik dengan ketersediaan sumber tenaga yang mencukupi merangkumi tenaga boleh baharu serta tenaga rendah karbon berasaskan gas.
Seperti yang saya nyatakan, kita amat bernasib baik kerana memiliki sumber tenaga yang mencukupi, merangkumi tenaga boleh diperbaharui serta tenaga rendah karbon melalui penggunaan gas seperti turbin gas dan sistem kitaran gabungan.
Pada masa ini, kita sedang membangunkan kapasiti penjanaan sebanyak 500 megawatt di Miri dan 1,000 megawatt di Bintulu.
“Ini bermakna menjelang 2030, jumlah kapasiti terpasang akan mencapai 10,000 megawatt atau 10 gigawatt, yang boleh menjadi asas kepada perkongsian tenaga di Borneo,” jelasnya lagi. – UKAS