
BETONG: Seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila tapak tangan kirinya tertusuk besi peluru senapang ikan dalam satu kejadian semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Betong pada 10.20 malam bagi mendapatkan bantuan khidmat khas.
Menurut kenyataan itu, Komander Operasi Yusuf Tamin berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera penyelamat kebakaran (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah dikejarkan ke lokasi, kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Setibanya di hospital, pihak bomba dimaklumkan oleh doktor bertugas mengenai seorang mangsa lelaki berusia 18 tahun yang mengalami kecederaan akibat tercucuk besi peluru senapang ikan di tapak tangan kirinya.
“Pihak hospital memohon bantuan bomba untuk memotong besi tersebut supaya menjadi lebih pendek bagi memudahkan proses pemindahan mangsa ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak memotong besi berkenaan menggunakan peralatan pemotong bolt dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan tambahan kepada mangsa.
Operasi yang bermula pada 10.28 malam itu berjaya diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 22 minit, sebelum mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.
Oleh Adi Safarman