Sydney: China dipercayai mengendalikan ratusan pusat tahanan di Xinjiang di bawah rangkaian yang lebih besar berbanding pernah dilaporkan sebelum ini.
Berdasarkan kajian oleh Institut Polisi Strategik Australia (ASPI), ia mengesan lebih 380 ‘pusat tahanan yang disyaki’ di wilayah berkenaan, di mana dipercayai China menahan lebih sejuta etnik Uighur dan penganut Islam lain khususnya mereka yang bertutur dalam bahasa Turki.
Ia turut mendapati, pusat berkenaan adalah 40 peratus lebih besar daripada jangkaan sebelum ini dan penghuninya semakin bertambah walaupun China mendakwa sudah membebaskan ramai etnik Uighur.
Dengan menggunakan imej satelit, akaun saksi, laporan media dan dokumen tender pembinaan rasmi, institut itu mengatakan, ‘sekurang-kurangnya 61 pusat tahanan menyaksikan kerja-kerja pembinaan dan pengembangan baharu antara bulan Julai 2019 hingga Julai 2020’.
Sebanyak 14 pusat tahanan masih dibawah kerja pembinaan pada 2020 dengan 70 pusat dipagar atau dinding perimeternya dirobohkan sebagai tanda ia telah diubah atau ditutup.
Bagaimanapun, Beijing menafikan kewujudan pusat tahanan itu dan kerajaan China mengatakan ia adalah pusat latihan vokasional untuk menentang aktiviti ekstrem.
Jurucakap Kementerian Luarnya, Wang Wenbin menggelar ASPI sebagai ‘barisan hadapan pasukan anti-China yang kredibiliti akademiknya boleh dipersoalkan’.
Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini memilih untuk melarang import dari Xinjiang, dengan alasan penggunaan buruh paksa secara sistematik.
Beijing baru-baru ini menerbitkan sebuah kertas putih yang mempertahankan dasarnya di Xinjiang, di mana ia mengatakan bahawa program latihan, skema kerja dan pendidikan yang lebih baik bermakna kehidupan turut bertambah baik.
Ia mendakwa telah memberi ‘sesi latihan’ kepada rata-rata 1.29 juta pekerja setiap tahun antara tahun 2014 dan 2019.
Berikutan penerbitan laporan ASPI, tabloid yang dikendalikan oleh pemerintah China, Global Times memetik ‘sumber’ dengan mengatakan bahawa penulis Clive Hamilton dan Alex Joske dilarang memasuki China. Wang tidak mengesahkan sama ada kedua-dua ahli akademik itu dilarang memasuki China, tetapi mengatakan perkara itu ‘berada dalam ruang lingkup kedaulatan China’.-AFP