
KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun meniti fasa penghijrahan dengan penampilan bertudung, penyanyi Elly Mazlein kini lebih tenang menyusuri perubahan hidupnya sebagai satu proses kematangan yang membentuk semula pendirian dan pembawaan diri dalam dunia seni.
Biarpun pernah berdepan kehilangan tawaran kerja dan pembatalan projek susulan penghijrahannya, Elly Mazlein, 45, yang juga pelakon, mengakui fasa awal penyesuaiannya itu bukan sesuatu yang mudah.
Bagaimanapun anak kelahiran Slim River, Perak ini bersyukur apabila rezekinya kini kembali hadir, sekali gus menguatkan keyakinannya untuk terus melangkah dengan pendirian itu.
Menganggap perjalanan kerjayanya sebelum ini sebagai satu ujian yang mengajarnya untuk terus bersangka baik dan yakin pada perancangan Tuhan, pemilik nama Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu bagaimanapun mengakui pernah berdepan dengan fasa kekeliruan.
Memilih untuk “senyap seketika” bagi mencari keseimbangan antara identiti diri dan tuntutan kerja, pelakon drama komedi Kampung People itu berkata proses berkenaan banyak membantunya memahami batas yang perlu dijaga tanpa perlu mengorbankan personaliti diri.
“Jika semata-mata kerana bayaran saya perlu membuka tudung, di mana maruah kita sebagai wanita Islam? Rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana. Kak Lina sebagai Muslimah tidak bermakna perlu berhenti bekerja.
“Kita boleh keluar mencari rezeki seperti biasa, cuma perlu tahu batas. Saya percaya Allah uji sekejap, selepas itu rezeki datang berturut-turut. Allah sebaik-baik perancang,” katanya kepada pemberita selepas dilantik sebagai duta pakaian raya Jakel 2026 di sini, semalam.
Sambil menegaskan perubahan tersebut tidak memadamkan sisi cerianya, sebaliknya membentuk versi diri yang lebih seimbang dan sedar akan tanggungjawab, pelakon Gerak Khas itu berkata tawaran kerja kembali datang termasuk sambungan kontrak dan beberapa kerjasama baharu.
Mengharapkan kekal istiqamah dengan pendirian itu sehingga ke akhir hayat, Elly Mazlein yang juga pengacara turut menghargai sikap profesional stesen televisyen dan pihak produksi yang menghormati penampilannya dengan menawarkan watak yang selari dengan batas ditetapkannya.
Bersesuaian dengan fasa penghijrahannya itu juga pelantun yang terkenal dengan lagu Janji Kekasih ini kini lebih berhati-hati dalam pendirian dan tutur kata, selain mahu kekal aktif dalam kerjaya seni yang menjadi sumber rezekinya sejak hampir tiga dekad.
Baginya, penampilannya hari ini bukan lagi soal luaran semata-mata, sebaliknya satu proses kematangan diri yang mengajarnya tentang batas, empati dan tanggungjawab sebagai wanita Muslim yang bekerja dalam industri hiburan.
“Kak Lina cuba berhati-hati dalam memilih kata-kata kerana setiap orang mempunyai latar dan perjalanan hidup masing-masing. Apa yang penting, kita sedar tentang tanggungjawab dan terus berusaha menjadi lebih baik.
“Kak Lina sendiri masih dalam proses belajar dan menyesuaikan diri. Apa yang saya lakukan hari ini adalah usaha membaiki diri, bukan untuk menunjuk atau mengajar orang lain,” katanya sambil menambah perubahan dilalui bukan berlaku sekelip mata, sebaliknya melalui proses kesedaran dan usaha berterusan memperbaik diri.- Bernama