
SIBU: Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) akan menganjurkan Program Derma Darah 4.0, bagi membantu memastikan bekalan darah di Hospital Sibu sentiasa mencukupi.
Program yang dijalankan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Sibu dan Star Mega Mall itu akan berlangsung esok dari 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Orange Zone, Star Mega Mall di sini.
Bank Darah Hospital Sibu menerusi hantaran di Facebooknya memberitahu, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan persatuan itu dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah sebagai amalan mulia yang mampu menyelamatkan nyawa.
Selain itu, kempen tersebut turut bertujuan memastikan bekalan darah di Tabung Darah Hospital Sibu berada pada tahap mencukupi bagi kegunaan kes kecemasan, pembedahan dan rawatan pesakit.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen derma darah sepanjang 2026 boleh mengikuti Facebook, Instagram dan TikTok Bank Darah Hospital Sibu.
Oleh Akun Giman