Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Media sosial cetus ‘tribunal persepsi awam’ dalam kes mahkamah – Premier Sarawak
  • SEMASA

Media sosial cetus ‘tribunal persepsi awam’ dalam kes mahkamah – Premier Sarawak

Utusan Sarawak 6 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada majlis makan malam bersempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026 di sebuah hotel di Kuching, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

KUCHING: Ledakan maklumat di media sosial telah mewujudkan fenomena ‘tribunal persepsi awam’ yang berpotensi mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kefahaman terhadap proses keadilan, termasuk kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam era digital tanpa sempadan, maklumat tersebar pantas tanpa tapisan, sekali gus mendorong segelintir pihak membuat penghakiman sendiri terhadap sesuatu kes tanpa berasaskan fakta dan undang-undang yang sah.

Beliau menegaskan bahawa kebebasan kehakiman merupakan prinsip asas yang menjamin mahkamah menjalankan fungsi pengadilan secara bebas, adil dan saksama tanpa sebarang pengaruh luar, termasuk tekanan politik, kepentingan peribadi atau sentimen awam.

“Sebarang ulasan, persepsi atau tekanan melalui media sosial tidak seharusnya menjejaskan kebijaksanaan hakim dalam membuat keputusan berlandaskan fakta dan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini

Menurut beliau, walaupun media sosial merupakan realiti yang tidak dapat dinafikan, institusi kehakiman perlu tangkas menyesuaikan diri tanpa menggadaikan prinsip keadilan, integriti dan profesionalisme.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh sistem kehakiman syariah melalui penambahbaikan struktur institusi, termasuk penubuhan Mahkamah Utama Syariah Sarawak sebagai peringkat keempat dalam hierarki mahkamah.

Langkah itu katanya, bertujuan meningkatkan tadbir urus kehakiman syariah serta memperkukuh keyakinan masyarakat Islam terhadap sistem keadilan yang dilaksanakan di negeri ini.

Pada masa sama, beliau menekankan keperluan menjadikan sistem kehakiman syariah lebih mesra rakyat bagi memastikan golongan rentan seperti wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) tidak terpinggir daripada mendapatkan akses kepada keadilan.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Syarat jaminan bank kurangkan risiko penipuan umrah
Next: Sarawak tubuh Jabatan Pendakwaan Syariah, perkukuh integriti sistem kehakiman

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.