KOTA KINABALU: Segalanya kini terserah kepada rakyat Sabah untuk menentukan nasib mereka sama ada mahu terus melonjak ke hadapan bersama kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan atau sebaliknya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, tidak mengapa sekiranya kerajaan negeri pimpinan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini memilih untuk tidak bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun katanya, rakyat Sabah mempunyai hak untuk memperbetulkan keadaan dan memilih haluan ke arah mencapai kemajuan yang lebih baik pada pilihan raya negeri esok.
“Saya hanya boleh merayu tetapi tidak boleh mengarah, malah memaksa,” katanya semasa berucap pada program terakhir siri jelajah kempen PN pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Sabah di sini semalam.
Hadir sama calon PN bagi DUN Sulaman, yang juga Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta calon PN bagi DUN Tamparuli yang juga Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Pengerusi PN turut melahirkan rasa kecewa apabila rakannya Mohd Shafie tidak menunaikan janji untuk terus berjuang sebaris dengannya ketika beliau memerlukan sokongan pada waktu yang kritikal.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menaruh harapan mahu melihat Negeri di Bawah Bayu itu bangkit menjadi sebagai sebuah negeri yang hebat dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan yang pesat, peluang pekerjaan yang luas, kemudahan telekomunikasi dan internet yang lebih menyeluruh.
“Ini adalah cita-cita saya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu hanya dapat direalisasikan sekiranya rakyat membuat pilihan untuk bersama-sama dengan kerajaan PN. – Bernama