
KUCHING: Usaha memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman Syariah di Sarawak terus diperkasakan menerusi penganjuran Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026 (OSLY 2026) yang menjadi simbol rasmi permulaan tahun perundangan Syariah baharu di negeri ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, berkata penganjuran OSLY 2026 merupakan manifestasi iltizam semua pihak untuk meletakkan institusi keadilan pada kedudukan sewajarnya, bebas serta berwibawa, sejajar dengan tema ‘Memperkasa Kebebasan Badan Kehakiman dan Perundangan Syariah’.
Menurut beliau, kebebasan badan kehakiman amat penting bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan secara telus, adil dan berintegriti tanpa sebarang pengaruh luar.
Beliau turut menggesa agar anak-anak diperkasakan dengan ilmu agama sejak awal bagi melahirkan generasi yang berguna kepada masyarakat, di samping menekankan kepentingan institusi kesepaduan dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang, pendakwaan, pengurusan kekeluargaan Islam serta pelaksanaan keputusan mahkamah dapat dilaksanakan secara berkesan dan selari.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, berkata pencapaian Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dalam aspek pendigitalan membuktikan keupayaan Sarawak mendepani cabaran dunia digital dengan berkesan.
Katanya, pelaksanaan sistem i-Syariah telah menjadikan Sarawak sebagai penanda aras kepada Mahkamah Syariah negeri-negeri lain, sekali gus mempercepatkan proses kerja dan meningkatkan akses kepada keadilan, termasuk bagi masyarakat di kawasan pedalaman.
“Kecemerlangan tadbir urus ini turut diiktiraf apabila JKSS dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS),” katanya.
OSLY 2026 diteruskan sebagai kesinambungan program tahunan yang bermula pada 2025 dan berperanan sebagai platform perbincangan, perkongsian pandangan serta penyelarasan hala tuju dalam kalangan badan kehakiman, profesion undang-undang dan pihak berkepentingan.
Penganjurannya bertujuan memperbaharui komitmen terhadap prinsip keadilan, kecekapan dan integriti, selain membincangkan cabaran semasa, reformasi undang-undang serta peranan teknologi dalam meningkatkan kecekapan perundangan Syariah di Sarawak.
Oleh Norman B