
SERIAN: Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Sarawak akan berlangsung dari 4 hingga 7 Februari 2026 bertempat di Pusat Persidangan Serian (SCC), sekali gus menjadi medan penting dalam menyemarakkan penghayatan al-Quran dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdul Rahman Junaidi, berkata majlis perasmian akan disempurnakan oleh Premier Sarawak pada malam 4 Februari 2026, manakala Istiadat Penyampaian Hadiah pada malam keempat, 7 Februari 2026, akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Menurut beliau, antara objektif penganjuran majlis tersebut adalah untuk menyemarakkan lagi semangat cinta umat Islam terhadap al-Quran sebagai kitab suci yang syumul, merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia. Selain itu, ia juga bertujuan melahirkan lebih ramai qari, qariah, hafiz dan hafizah berkaliber di Sarawak, di samping mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peserta.

“Majlis ini turut menjadi platform bagi memperkukuh usaha dakwah ke arah meningkatkan keimanan dan ketakwaan, selain menggilap amalan ibadah serta pembentukan akhlak mulia berlandaskan petunjuk al-Quran,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian, pagi tadi.
Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Sarawak kali ke-65 ini mengangkat tema ‘Ummah Maju Makmur’, dengan penyertaan seramai 43 peserta melibatkan kategori qari, qariah, hafazan lelaki dan hafazan perempuan.
Beliau turut memaklumkan, beberapa acara iringan akan diadakan bersempena majlis tersebut, antaranya Bengkel Hakim (12–15 Januari 2026), Kursus Tahsin Qiraat al-Quran (27 Januari 2026), Forum Perdana Hal Ehwal Islam (1 Februari 2026), Kursus Pengukuhan Peserta MTQ Negeri (2–3 Februari 2026), Seminar Saudara Kita (7 Februari 2026), Kuiz al-Quran serta pameran (4–7 Februari 2026), dan Bicara Ramadan dan al-Quran pada 13 dan 14 Februari 2026.
Sidang media berkenaan turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, serta ketua-ketua jabatan berkaitan.
Oleh Norman B