
KUCHING: Penganjuran Bazar Ramadan oleh kumpulan komuniti dan sektor swasta dengan kerjasama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah dilaksanakan sejak 2008 bagi memastikan aktiviti perniagaan Ramadan berjalan secara lebih teratur, terkawal dan sistematik.
Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai berkata inisiatif tersebut bertujuan menyediakan lokasi perniagaan strategik sepanjang Ramadan di samping menjadi platform interaksi masyarakat pelbagai latar belakang bagi memperkukuh perpaduan.
Menurutnya, penganjuran bazar ini turut memberi peluang kepada komuniti setempat mengurus aktiviti sendiri menerusi konsep ‘Untuk Komuniti Oleh Komuniti’, sekali gus memupuk rasa tanggungjawab bersama.
Bagi 2026, satu Jawatankuasa Bazar Ramadan telah ditubuhkan bagi menyelaras penganjuran bazar di kawasan pentadbiran MPP.
Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Kaunselor Madhi Tomi dengan Timbalan Pengerusi MPP, Kaunselor Mahmud DS Ibrahim sebagai penaung dan penasihat.
Sebanyak sepuluh tapak Bazar Ramadan akan beroperasi, melibatkan empat tapak diurus komuniti dan enam tapak diurus pihak swasta.
Tapak bazar komuniti akan diadakan di Taman Malihah Jalan Matang, Pusat Komersial Matang Jaya, Sentosa Town Square di Kota Sentosa dan Kota Padawan di Jalan Penrissen.
Bazar yang diurus oleh pihak swasta pula akan diadakan di beberapa lokasi, termasuk Emart Batu Kawa, Emart Matang, Pusat Komersial Prince Batu Kitang, Pusat Komersial Lee Ling Matang, Pusat Komersial Swan Matang, dan Plot 12 Bandar Baharu Batu Kawah.
Bagi memastikan kebersihan, keselamatan dan pematuhan peraturan, MPP bersama Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Jabatan Agama Islam Sarawak telah mengadakan sesi dialog dan taklimat kepada penganjur hari ini.
Taklimat tersebut merangkumi aspek kebersihan dan keselamatan makanan, kawalan harga serta perkara berkaitan halal. Pemantauan berkala akan dijalankan sepanjang tempoh operasi bazar.
MPP turut merakamkan penghargaan kepada Central Coldstorage Kuching Sdn Bhd CCK selaku penaja utama Bazar Ramadan dan berharap kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang.
Oleh Connie Chieng