Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sarawak capai 98 peratus akses pendidikan prasekolah melalui SeDidik
  • PENDIDIKAN

Sarawak capai 98 peratus akses pendidikan prasekolah melalui SeDidik

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO’ Sri Fatimah Abdullah berucap Mesyuarat Lembaga Pengarah SeDidik di Bangunan Baitul Makmur 2.

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak melalui SeDidik telah mencapai kadar akses pendidikan prasekolah sebanyak 98 peratus di seluruh negeri setakat ini, dengan sasaran mencapai penyertaan penuh 100 peratus dalam pendidikan awal kanak-kanak pada masa hadapan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, berkata pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan setiap kanak-kanak, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapat akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti.

Menurut beliau, selain akses, aspek kualiti turut diberi penekanan apabila semua guru SeDidik kini 100 peratus berkelayakan, sekurang-kurangnya memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, satu pencapaian penting yang berjaya direalisasikan menjelang akhir 2025.

“Pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas kepada pembentukan modal insan berkualiti. Ia bermula daripada rasa ingin tahu kanak-kanak, pendekatan pembelajaran berpusatkan kanak-kanak serta galakan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya pada Mesyuarat Lembaga Pengarah SeDidik di Bangunan Baitul Makmur 2, di sini, hari ini.

DATO’ Sri Fatimah Abdullah merakam kenangan bersama penerima sijil dalam kalangan guru SeDidik di Bangunan Baitul Makmur 2.

Beliau berkata pencapaian kelayakan penuh guru SeDidik direalisasikan melalui pelaksanaan program peningkatan kelayakan secara sistematik, termasuk program diploma dalam perkhidmatan, bagi memastikan standard profesional pendidikan awal kanak-kanak dapat diperkukuh secara menyeluruh.

“Kualiti pendidikan awal kanak-kanak hanya boleh dicapai melalui kualiti guru. Sebab itu kita menetapkan sasaran supaya semua guru SeDidik memiliki kelayakan profesional yang diiktiraf,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Fatimah memaklumkan kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada peluasan akses pendidikan awal apabila 98.46 peratus kanak-kanak Sarawak kini telah mendapat akses kepada pendidikan prasekolah, dengan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan pada 100 peratus.

“Walaupun pencapaian ini dianggap tinggi, kerajaan negeri meletakkan KPI pada 100 peratus supaya tiada seorang pun kanak-kanak Sarawak tercicir daripada pendidikan awal,” jelasnya.

Beliau berkata peluasan akses tersebut turut melibatkan pembukaan pusat pendidikan awal di kawasan luar bandar dan pedalaman mengikut keperluan komuniti setempat, walaupun bilangan murid di kawasan berkenaan lebih kecil berbanding di kawasan bandar.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah pusat SeDidik di Sarawak telah meningkat daripada 91 buah pada 2019 kepada 107 buah setakat ini, sejajar dengan usaha memperluas akses pendidikan awal secara adil dan menyeluruh.

Seiring itu, Dato’ Sri Fatimah berkata SeDidik yang kini memasuki 35 tahun penubuhannya terus memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak di Sarawak sejak ditubuhkan pada 1990, selaras dengan keperluan dan konteks semasa negeri ini.

Keutamaan kita ialah memastikan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak, bukan semata-mata mengejar jumlah maksimum murid dalam satu kelas. Di kawasan pedalaman, walaupun bilangan murid kecil, hak mereka untuk mendapat pendidikan tetap diutamakan,” katanya.

Dato’ Sri Fatimah menegaskan bahawa pencapaian dari segi akses dan kualiti guru merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri dalam membina modal insan Sarawak yang berdaya saing, berilmu dan berakhlak.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak gesa ‘Dasar Murid Enam Tahun Masuk Darjah Satu’ ambil kira realiti pendidikan Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.