
KAPIT: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memukul seorang wanita dengan menggunakan kayu gara-gara enggan merakam video semasa dia sedang menyanyi.
Dalam pada itu, Majistret Romario Jonoi turut mengenakan hukuman penjara dua bulan terhadap tertuduh, Ungik Ajau, 38, kerana menampar mangsa sama di bahagian muka pada 16 Januari 2026, pada 4.00 petang di halaman rumah di Sungai Tunoh.
Tertuduh yang diperintah menjalani hukuman penjara itu serentak, bagi pertuduhan pertama didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun yang sama bagi pertuduhan kedua.
Mengikut fakta kes, pengadu yang sedang makan buah bersama keluarga telah didatangi seorang lelaki, tertuduh, yang meminta pengadu merakam video semasa dia sedang menyanyi.”
Pengadu tidak mengendahkan teguran suspek, menyebabkan suspek memarahi pengadu, menampar pipi sebelah kanan, serta mengambil sebatang kayu untuk memukul belakang badan pengadu.
Bertindak atas laporan yang dibuat, pada 17 Januari 2026, pada lebih kurang 6.34 petang, pihak polis telah menahan tertuduh bagi membantu siasatan.
Siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh mengaku menampar pipi serta memukul pengadu menggunakan dahan kayu di bahagian belakang badan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haris Danial Mohamed sementara tertuduh tidak diwakili.
Oleh Akun Giman