
KUCHING: Cadangan membenarkan kanak-kanak seawal usia enam tahun memasuki darjah satu secara sukarela bermula 2027 menerima reaksi berbeza dalam kalangan ibu bapa.

Sebahagian melihatnya sebagai langkah positif selari dengan keperluan pendidikan masa kini, manakala ada yang menekankan kepentingan keseimbangan antara akademik dan pembentukan sahsiah.
Crisphin Jap Lee Lee, 36, berpandangan kemasukan awal ke alam persekolahan mampu membentuk sikap berdikari dalam diri kanak-kanak sejak usia muda.
“Pendedahan awal kepada persekitaran sekolah yang tersusun bukan sahaja mengelakkan kanak-kanak membuang masa di rumah, malah memberi peluang kepada mereka menimba ilmu lebih awal dalam suasana pembelajaran yang kondusif.

“Sekolah membantu kanak-kanak belajar mengurus diri, berdisiplin dan berdikari. Ia satu persediaan awal yang baik sebelum mereka melangkah lebih jauh dalam sistem pendidikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Sementara itu, Winnie Anastasia Jimbau, 33, turut bersetuju bahawa kanak-kanak berusia enam tahun sesuai memulakan pembelajaran formal di darjah satu, terutama dalam konteks pendidikan yang semakin berkembang seiring kemajuan teknologi.
“Sistem pendidikan masa kini yang merangkumi penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) memerlukan pendedahan lebih awal agar kanak-kanak tidak ketinggalan dalam arus pendidikan moden.
“Kanak-kanak sekarang lebih cepat menangkap pembelajaran. Jika mereka bersedia, tidak salah untuk mulakan lebih awal,” jelasnya.
Pandangan sama dikongsi oleh Richie Attenborough Chua, 32, yang menyifatkan langkah tersebut mampu memberi beberapa manfaat penting kepada perkembangan kanak-kanak.

“Kemasukan awal ke darjah satu memberi pendedahan kepada persekitaran sekolah, sistem dan silibus pembelajaran selain menggalakkan pergaulan sosial dalam kalangan rakan sebaya serta membantu mengurangkan kebergantungan kepada gajet,” ulasnya.
Namun begitu, Norrizawati Comar, 42, mengingatkan agar pembelajaran formal tidak mengatasi kepentingan pembentukan keperibadian dan nilai adab dalam diri kanak-kanak.

Norrizawati menegaskan tadika bukan sekadar tempat mengajar membaca dan menulis, sebaliknya ruang penting untuk perkembangan sosial dan emosi anak-anak.
“Persoalannya, adakah kita mahu melahirkan generasi yang cemerlang akademik tetapi kurang penekanan terhadap adab dan budi bahasa? Pada pandangan saya, pembentukan nilai hormat wajar didahulukan seiring perkembangan ilmu,” ujarnya.
Beliau turut menekankan keperluan keseimbangan antara ilmu dan akhlak dalam mendidik generasi akan datang agar pendidikan benar-benar membawa makna yang menyeluruh.
Reaksi ibu bapa ini muncul susulan pengumuman Perdana Menteri semalam pada 20 Januari, mengenai Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Antara kandungan utama dasar tersebut ialah membenarkan pendaftaran murid ke darjah satu seawal usia enam tahun secara sukarela bermula tahun 2027, sebagai usaha memberi lebih pilihan kepada ibu bapa berdasarkan keupayaan dan kesiapsiagaan anak masing-masing.
Oleh Masrin Affirah dan Norman B.