BETONG: Sarawak berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap mereka yang kembali ke negeri ini selepas hari mengundi di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata Sabah kini bertukar kepada zon merah Covid-19 dengan jumlah kes baharu yang agak membimbangkan.
“Sebaliknya, kita di Sarawak telah mencatatkan sifar kes dalam beberapa hari terakhir dan sehingga hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan upacara penghormatan 33 pesara dan pegawai yang akan bersara dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dari seluruh negeri di sini, semalam.
Uggah berkata, sekitar 500 anggota polis dari negeri ini telah dihantar ke Sabah untuk membantu pasukan keselamatan di negeri itu semasa pilihan raya negeri tersebut.
“Kita juga mempunyai ahli politik veteran tempatan yang juga ke ke sana untuk berkempen serta pengundi yang balik untuk membuang undi dan kemudian kembali ke Sarawak. Melihat trend itu, laporan baru-baru ini menunjukkan bahawa mereka yang pulang dari Sabah didapati positif wabak itu,” tambahnya.
Uggah mengatakan dengan situasi sedemikian, ini bermakna Sarawak masih belum lagi dalam keadaan yang selamat.
“Oleh kerana itu, kita sekarang mempunyai beberapa syarat baharu bagi mereka yang kembali dari Sabah. Kita harus membentuk perisai pelindung di sekitar Sarawak daripada kemungkinan wabak ini menular lagi,” katanya.
Uggah mengatakan ini akan menyukarkan mereka yang berkenaan tetapi setiap orang mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kita harus berjaga-jaga ….. sesiapa yang keluar dari negeri, ke luar negeri atas tugas rasmi atau pelancongan, harus dikuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing sebaik sahaja kembali.
“Kita tidak hanya melindungi anda atau keluarga anda tetapi masyarakat semuanya,” ujar beliau.
Uggah menambah kata, kerajaan terpaksa tegas di dalam hal ini kerana sedang berhadapan dengan situasi yang amat sukar.
Oleh Alexandra Lorna