
SIBU: Jabatan Laut Malaysia akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan institusi latihan serta pihak industri bagi memastikan program latihan yang dilaksanakan kekal relevan.
Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Datuk Dickson Dollah berkata, standard kompetensi akan terus dipelihara supaya pelaut Malaysia kekal diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menurut beliau, dalam landskap industri perkapalan yang semakin kompleks serta berisiko tinggi, aspek keselamatan pelayaran, kecekapan operasi dan pematuhan kepada perundangan antarabangsa amat bergantung kepada kualiti latihan yang diterima oleh para pelaut.
Justeru katanya, penubuhan institut latihan yang dilengkapi kemudahan moden serta tenaga pengajar berpengalaman bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.
“Jabatan Laut Malaysia amat menyokong dan menggalakkan penggunaan teknologi latihan moden seperti simulasi bagi memastikan pelaut negara bukan sahaja memenuhi keperluan pensijilan, malah benar-benar kompeten, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran sebenar di laut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pembukaan rasmi Institut Latihan TCCS Marine Sdn Bhd dan pelancaran Pusat Simulasi, hari ini.
Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Tamat Kursus Pegawai Jurutera bagi Pengawasan Kejuruteraan 750 kW atau lebih bagi Pelayaran Persisiran, Pegawai bagi Pengawasan Pelayaran 500 GT atau lebih bagi Pelayaran Persisiran, serta Nakhoda dan Ketua Mualim bagi kapal 3,000 GT atau lebih bagi Pelayaran Persisiran.
Dickson berkata, pencapaian tersebut mencerminkan tahap disiplin, komitmen dan kesungguhan yang tinggi sepanjang tempoh latihan.
“Namun, saya ingin menegaskan bahawa kelayakan yang diperoleh hadir bersama amanah dan tanggungjawab yang besar.
“Sebagai pegawai dan nakhoda, saudara dan saudari bertanggungjawab bukan sahaja terhadap operasi kapal, malah keselamatan nyawa, perlindungan alam sekitar marin, pematuhan undang-undang serta reputasi industri perkapalan negara,” katanya.


Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Urusan Institut Latihan TCCS Marine Sdn Bhd, James Ho berkata, pelancaran Pusat Latihan Simulasi merupakan pelaburan strategik dalam teknologi latihan moden yang membolehkan pembelajaran berasaskan senario bagi memperkukuh kemahiran membuat keputusan, kerja berpasukan, kesedaran keselamatan serta kesiapsiagaan operasi.
“Sehingga kini, sebanyak 23 kursus telah diluluskan oleh Jabatan Laut Malaysia meliputi Kursus Modular STCW dan Kursus Persediaan, sekali gus membuktikan komitmen TCCS Marine terhadap pematuhan peraturan, kualiti latihan dan penambahbaikan berterusan,” ujarnya.
Mengulas perancangan masa hadapan, beliau berkata, TCCS Marine merancang untuk memperluaskan lagi keupayaan latihan dengan memperkenalkan Kursus Persediaan bagi Program Gabungan Ketua Jurutera dan Jurutera Kedua melebihi 3,000 kW bagi Pelayaran Persisiran Pantai.
“Selain itu, latihan berfokuskan simulasi akan diperkukuh melalui penggunaan sepenuhnya Simulasi Anjungan dan Simulasi Enjin, termasuk Kursus Modular Pengurusan Sumber Enjin, Latihan Simulasi Enjin serta Kursus Simulasi ARPA,” katanya.
Oleh Akun Giman