

DAKAR: Hujan lebat sejak akhir bulan lepas mencetuskan banjir besar di seluruh Mozambique, mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang dan menjejaskan lebih 600,000 yang lain, menurut Pusat Penyelarasan Tindak Balas Kecemasan (ERCC) Kesatuan Eropah pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
ERCC memetik maklumat daripada pihak berkuasa bencana di negara Afrika Tenggara itu.
Hujan dijangka berlaku di selatan negara itu dalam tempoh 24 jam akan datang, katanya, dengan wilayah Gaza, Maputo, Inhambane dan Sofala terjejas.

Kira-kira 78,200 orang ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan, dan ribuan rumah musnah, menurut laporan itu.
Kemudahan kesihatan dan infrastruktur terjejas teruk, kata ketua pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) di Mozambique, Paola Emerson, yang berucap dari Xai-Xai, ibu kota Wilayah Gaza.
Beliau menyatakan bahawa 90 peratus penduduk tinggal di rumah diperbuat daripada adobe (tanah liat) “yang pada dasarnya cair selepas beberapa hari hujan.”

Emerson berkata kira-kira 5,000 kilometer jalan raya telah rosak di sembilan wilayah, termasuk jalan utama yang menghubungkan ibu kota Maputo dengan bahagian lain negara itu, yang kini tidak dapat dilalui, sekali gus mengakibatkan gangguan besar kepada rantaian bekalan.
Sungai Limpopo telah melimpah, membanjiri beberapa kawasan. Kesemua 14 pintu air di Empangan Massingir di anak sungai Limpopo telah dibuka buat kali pertama sejak 1977, lapor media Mozambique.
Aliran keluar telah meningkat kepada 17,000 meter padu sesaat daripada 10,000 dalam tempoh beberapa jam. Takungan air di hilir juga dilaporkan telah penuh.

Gabriel Monteiro daripada pihak berkuasa bencana kebangsaan INGD berkata banjir kali ini boleh menjadi lebih buruk daripada banjir 2000, apabila ratusan orang kehilangan nyawa.
Lebih banyak wilayah terjejas kali ini, katanya kepada agensi berita negeri AIM, namun beliau menambah bahawa negara itu kini lebih bersedia.
Afrika Selatan dan Zimbabwe turut mengalami banjir, dengan angka kematian di Afrika Selatan mencecah 30 orang sejak akhir Disember, lapor ERCC. Ia turut melaporkan 70 kematian di Zimbabwe. – Bernama-dpa