ADI SAFARMAN
SIMANGGANG: Lebih 1,000 penduduk yang menghuni perkampungan Kampung Melayu Tanjung Bijat serta sekitar 10 buah rumah panjang di sini mendesak supaya pihak berkuasa, bertanggungjawab untuk menangkap buaya yang dikenal pasti mengancam keselamatan penduduk kawasan itu.
Ini berikutan, susulan tragedi serangan buaya yang telah membaham seorang penduduk, Yanha Mahrat, 29, pada petang Rabu lalu, penduduk-penduduk kampung serta rumah panjang di sepanjang sungai itu dilanda ketakutan ekoran bilangan buaya yang terus meningkat di sungai berkenaan.
Ketua Kampung Melayu Tanjung Bijat, Mustapha Mohd Tuah, 65, berkata keadaan di Sungai Batang Lupar dekat Tanjung Bijat yang dahulunya mengalir tenang tanpa sebarang gangguan dan laporan mengenai serangan reptilia yang dianggap ganas ini, kini ramai penduduk mendakwa bahawa banyak buaya ganas menghuni sungai berkenaan.
“Dengan tragedi serangan buaya ganas yang pertama berlaku di kampung itu iaitu sejak 70 tahun lalu yang telah meragut nyawa seorang penduduk kampung baru-baru ini, masyarakat di sini sudah mula mempunyai persepsi yang amat negatif terhadap reptilia ini.
“Ada juga penduduk yang cukup emosional sehingga mahu buaya di sepanjang sungai di sekitar Tanjung Bijat itu dihapuskan dan mereka mula berasa rimas dan cuba mengelakkan sebarang aktiviti di sungai itu yang mengalir di belakang rumah mereka dan ini menjejaskan kehidupan harian serta pendapatan mereka sejak berlakunya peristiwa tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di kediamannya dekat sini semalam.
Menurut Mustapha, memang diakui pada April sehingga September adalah masa berbahaya disebabkan buaya betina mula bertindak agresif kerana dikatakan musim reptilia terbabit mengawan dan bertelur.
“Berhubung serangan buaya baru-baru ini, kami benar-benar merayu supaya pihak berkuasa terutamanya Sarawak Forestry Corporation (SFC) bertindak segera mengawal populasi reptilia ganas di sepanjang sungai itu bagi mengelak kejadian serupa berulang lagi.
“Bayangkan berapa banyak buaya ganas akan menghuni di Sungai Batang Lupar dekat Tanjung Bijat ini pada masa akan datang, sekiranya tiada langkah dilakukan pihak berkuasa nanti,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Mustapha, kerja pemburuan buaya itu harus dilakukan untuk musim tertentu dan bukannya dilakukan setiap hari.
“Buaya boleh membunuh manusia tetapi manusia tidak boleh membunuh buaya, siapa yang lebih disayangi buaya ataupun manusia?,” soal beliau lagi.
Justeru, Mustapha turut menasihati kepada golongan nelayan dan juga kepada masyarakat dan penduduk yang menjadikan Sungai Batang Lupar dekat Tanjung Bijat sebagai aktiviti utama mereka mencari rezeki, supaya berhati-hati dan berwaspada kerana bimbang nanti manusia akan dijadikan korban buaya seterusnya.
Menurut seorang penduduk kampung terbabit ketika ditemui semalam berkata, lokasi serangan reptilia pada petang Rabu lalu tersebut merupakan satu tempat yang mana buaya sering kelihatan dan timbul.
“Sehubungan itu, kami memohon pihak berkaitan bertindak segera mengatasi buaya berkenaan agar tidak terus mengancam kehidupan penduduk.
“Kami tidak tahu sama ada usaha dijalankan oleh pihak terbabit pada tahun lalu yang berobjektif mengurangkan populasi buaya di sungai ini dan mengatasi buaya bermasalah itu berjaya membuahkan hasil atau tidak.
“Tetapi berdasarkan kejadian itu, hidup masyarakat yang bergantung kepada sungai masih lagi terancam dan belum menemui jalan penyelesaian,” katanya lagi.