
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memicit jerawat yang muncul di kawasan hidung dan atas bibir kerana ia berisiko menyebabkan jangkitan serius yang boleh merebak ke otak.
Menurut perkongsian kesedaran kesihatan oleh Kesihatan Awam Malaysia kawasan berkenaan dikenali sebagai ‘segitiga maut’ atau Danger Triangle, iaitu kawasan dari pangkal hidung di antara kening sehingga ke hujung bibir kiri dan kanan.
Jelas Kesihatan Awam Malaysia, salur darah di kawasan tersebut mempunyai hubungan terus dengan bahagian dasar otak yang dikenali sebagai cavernous sinus.
Lebih membimbangkan, salur darah di kawasan itu tidak mempunyai injap, sekali gus membolehkan kuman yang masuk akibat jerawat dipicit mengalir terus ke otak tanpa sebarang halangan.
“Jika jerawat di kawasan ini dipicit dan kuman memasuki salur darah, jangkitan boleh merebak dengan pantas ke otak dan mengakibatkan komplikasi serius,” menurut perkongsian itu.
Antara risiko jangkitan yang boleh berlaku termasuk Cavernous Sinus Thrombosis (pembekuan darah di sekitar otak), meningitis, abses otak, masalah penglihatan sehingga strok.
Walaupun jerawat yang muncul di kawasan pipi atau dahi mempunyai risiko lebih rendah, jerawat di hidung dan atas bibir perlu diberi perhatian khusus dan tidak wajar diusik.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memicit jerawat atau mencabut bulu hidung secara kasar kerana perbuatan tersebut juga boleh menjadi laluan kuman masuk ke dalam badan.
Sebagai langkah selamat, penggunaan acne patch atau ubat jerawat disarankan, meskipun jerawat tersebut mengambil masa lebih lama untuk pulih.
“Lebih baik berdepan jerawat selama seminggu atau dua, daripada berdepan risiko jangkitan serius yang boleh mengancam nyawa,” menurut kenyataan itu.