Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • MA63, rakyat sokong dialog berhemah, tolak retorik melampau
  • SEMASA

MA63, rakyat sokong dialog berhemah, tolak retorik melampau

Utusan Sarawak 6 hours ago
JURULATIH Kesihatan, Joana Ah B.

SARIKEI: Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengenai penghormatan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disambut pelbagai lapisan masyarakat sebagai peringatan penting terhadap semangat asal pembentukan Malaysia.

Penegasan itu dititahkan Sultan Ibrahim ketika berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara semalam.

Dalam titah tersebut, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia adalah melalui MA63 yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat. 

Sehubungan itu, semua pihak digesa kembali kepada niat asal pembentukan negara yang berteraskan perpaduan, saling menghormati serta kerjasama erat antara wilayah dan Kerajaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya lebih berhati-hati dalam menyuarakan pandangan agar tidak menghasut sehingga mencetuskan ketegangan antara wilayah, sebaliknya menyelesaikan sebarang perbezaan secara matang tanpa kebencian atau syak wasangka.

Persidangan Dewan Rakyat dijadual berlangsung selama 20 hari dengan tumpuan utama kepada perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen bermula hari ini hingga 29 Januari, sebelum disusuli dengan jawapan kementerian berkaitan selama empat hari bermula 4 Februari ini.

IRING

Mengulas titah tersebut, jurulatih kesihatan, Joana Ah B, bersama Iring dan Kimberly Francis, berkongsi pandangan masing-masing ketika ditemu bual oleh Utusan Sarawak di salah sebuah premis kesihatan, hari ini.

Menurut Joana Ah B, gesaan Seri Paduka Baginda wajar disambut peringatan penting agar pelaksanaan MA63 dilihat dalam konteks memperkukuh perpaduan negara. 

“Sebagai rakyat Sarawak, saya menyambut baik gesaan Seri Paduka Baginda supaya hak Sabah dan Sarawak dihormati selaras dengan MA63. 

“MA63 bukan untuk memecah-belahkan, sebaliknya menjadi asas supaya semua wilayah dihormati secara adil. 

“Titah tersebut mengingatkan kita bahawa semangat asal pembentukan Malaysia ialah perpaduan dan kerjasama, bukan pertikaian,” katanya.

Sementara itu, Iring berpandangan bahawa rakyat Sarawak dan Sabah hanya mengharapkan hak yang telah dipersetujui dihormati sepenuhnya, sambil mengekalkan keharmonian serta semangat kebersamaan dalam Persekutuan Malaysia.

“Saya melihat gesaan ini sebagai peringatan kepada semua pihak, kembali kepada niat asal untuk pembentukan Malaysia.

“Rakyat Sabah dan Sarawak hanya mahu hak kami dihormati seperti dipersetujui tanpa menimbulkan ketegangan antara wilayah. 

“Apa yang penting, semua perbezaan pandangan diselesaikan dengan dialog dan saling menghormati seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Bagi Kimberly Francis pula, beliau menegaskan bahawa titah tersebut amat tepat pada masanya memandangkan perbincangan mengenai MA63 semakin mendapat perhatian.

KIMBERLY Francis.

“Pada pandangan saya, titah Yang di-Pertuan Agong sangat tepat pada masanya. 

“Hak Sarawak dan Sabah yang termaktub dalam MA63 perlu dilaksanakan dengan lebih konsisten, bukan sekadar disebut dalam ucapan. 

“Namun saya setuju dengan peringatan supaya isu ini tidak dipolitikkan atau dijadikan bahan hasutan, sebaliknya dibincangkan secara matang dan berfakta,” katanya.

Secara keseluruhan, titah Yang di-Pertuan Agong dilihat sebagai peringatan jelas agar semua pihak kembali kepada semangat asal pembentukan Malaysia yang diasaskan atas kepercayaan, persefahaman dan kerjasama antara wilayah.

Pelaksanaan MA63 secara konsisten dan berlandaskan Perlembagaan bukan sahaja penting bagi memenuhi aspirasi Sabah dan Sarawak, malah berupaya memperkukuh perpaduan nasional serta kestabilan politik negara dalam jangka panjang.

Pada masa sama, semua pihak digesa agar mengelakkan sebarang bentuk hasutan atau retorik melampau yang boleh menjejaskan hubungan antara wilayah, sebaliknya mengutamakan perbincangan secara berhemah dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, pematuhan terhadap MA63 secara menyeluruh dan berterusan dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan keadilan wilayah, keharmonian rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih bersatu dan sejahtera.

Oleh Earl Anek

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Singapura rancang buka pejabat konsulat di Kuching, dijangka mula beroperasi pertengahan tahun ini
Next: MA63 bukan sekadar sejarah, asas perpaduan negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.