Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Perkembangan pendidikan wanita zaman Brooke
  • KOLUMNIS

Perkembangan pendidikan wanita zaman Brooke

Utusan Sarawak 6 hours ago

SEJARAH mengenai wanita dan pendidikan boleh dikesan dalam pelbagai tamadun dunia.  Dalam satu segi, wanita ini tidak mendapat pendidikan yang setara dengan lelaki sejak awal evolusi tamadun dunia. 

Kebanyakan mereka hanya difokuskan kepada pendidikan bersifat rumah tangga untuk menjadi isteri yang dapat mengurus rumah tangga dengan baik.

Namun usaha memperkasakan pendidikan wanita ini terus digerakkan oleh pelbagai pihak. Di Engand misalnya, peranan golongan mubaligh mempunyai kesan kepada perkembangan pendidikan untuk wanita.

Frederick Denison Maurice, bersama Jawatankuasa Pendidikan memain peranan dalam penubuhan Governesses’ Benevolent Institution pada 1841 untuk melatih guru-guru wanita. 

Selanjutnya pada 1848, Queen’s College, telah ditubuhkan di London. Penubuhan ini menandakan satu titik perubahan penting apabila ia menjadi sekolah pertama di Britain yang menawarkan pendidikan akademik serius kepada kanak-kanak perempuan dan wanita muda.

RANI Margaret Brooke.

Perkembangan di peringkat dunia ini juga mula mempengaruhi perkembangan pendidikan perempuan dalam kalangan masyarakat di Sarawak. 

Kehadiran golongan mubaligh Kristian di Sarawak telah membuka sekolah formal kepada anak-anak Sarawak. Pada 1848 bersama-sama pembukaan sekolah lelaki dibuka juga kelas untuk golongan wanita. 

Namun demikian pendidikan awal ini tidak berjaya memberi pendidikan sewajarnya untuk golongan wanita.

Galakkan

Ini kerana kedatangan wanita-wanita ke kelas tersebut hanya semata-mata untuk melihat orang putih daripada untuk membaca dan menulis.

Akhirnya kelas ini ditutup kerana bilangan yang hadir berkurang sehingga tiada yang menghadirinya. Tumpuan pihak mubaligh kemudiannya lebih kepada pendidikan untuk kanak-kanak lelaki. 

LILLY Eberwein.

Selepas itu pada 1880-an, cadangan untuk memberi pendidikan kepada golongan wanita diusahakan oleh isteri Raja Charles Brooke iaitu Rani Margaret Brooke. 

Beliau bersungguh-sungguh untuk memberi penerangan kepada isteri-isteri pembesar Melayu untuk mendapat pendidikan dalam menulis dan membaca. 

Kesungguhan beliau berhasil apabila Astana Negeri Sarawak menjadi pusat pembelajaran dan pengajaran dalam kalangan isteri-isteri pembesar ini.

Lanjutan daripada itu, usaha Rani Margaret Brooke ini juga berperanan dalam menyokong pembukaan sekolah vernakular Melayu di Sarawak.

Dalam hal ini beliau telah memberi sokongan kepada Abang Muhammad Kassim untuk membuka sekolah vernakular Melayu pada 1883. 

DATUK Ajibah Abol.

Selepas itu, sebuah lagi sekolah ditubuhkan iaitu sekolah Kampung Gerisek pada 1900.  Kedua-dua sekolah Melayu di Kuching ini menawarkan pendidikan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Perkembangan ini membawa pula kepada penubuhan Government Lay School.

Berkembang

Perkembangan yang berlaku pada 1880-an dalam memperkasakan pendidikan perempuan juga diteruskan oleh pihak mubaligh Kristian. 

Selain keutamaan dalam memberi pendidikan untuk lelaki, ditubuh sekolah khas pula dalam kalangan kanak-kanak wanita.  Gerakan mubaligh Anglikan dan Katolik berlumba-lumba dalam usaha menubuh sekolah masing-masing.

Ketika itu Mubaligh Anglikan memula langkah dalam membina sekolah perempuan mereka iaitu St Mary di Kuching. Sebuah lagi sekolah perempuan juga telah dibina oleh mubaligh Anglikan ini untuk kanak-kanak perempuan adalah Garland School. 

DATO‘ Sri Tra Zehnder.

Golongan Mubaligh Katolik pula telah membina sekolah convent untuk kanak-kanak perempuan pertama mereka. Sekolah ini kemudiannya dinamakan St. Theresa. 

Tokoh

Sekolah-sekolah mubaligh inilah yang memain peranan dalam melahirkan beberapa pemimpin wanita Bumiputera Sarawak. 

Salah seorangnya adalah Puan Lilly Eberwein yang pernah menjadi pelajar Sekolah St. Mary. Selain beliau, seorang lagi wanita hasil didikan Sekolah St. Mary ini adalah Dato’ Sri Tra Zehnder. 

Sekolah St. Mary ini juga melahirkan seorang lagi wanita berkaliber dalam sejarah politik Sarawak iaitu Barbara Mendu Bay.

Sementara itu sekolah khas untuk kanak-kanak perempuan dari sekolah vernakular Melayu hanya muncul pada 1930-an.  Peranan Puan Lilly Eberwein amat penting dalam menjayakan penubuhan sekolah perempuan yang dinamakan Sekolah Permaisuri. 

Sekolah ini juga berjaya melahirkan seorang tokoh politik wanita Sarawak iaitu Datuk Ajibah Abol. 

Pada 1930, terdapat sebuah sekolah swasta untuk kanak-kanak perempuan dibuka di Sibu.

Sementara itu sekolah vernakular Cina juga tumbuh dengan pesat di Sarawak. Kanak-kanak perempuan Cina juga menerima pendidikan sama dengan kanak-kanak lelaki. 

Pada awalnya sekolah-sekolah ini adalah sekolah bercampur antara perempuan dan lelaki. Salah satu contohnya adalah Sekolah Min Teck di Sarikei.

Namun perkembangan selanjutnya menunjukkan bagaimana masyarakat Cina di Sarawak mula menubuhkan sekolah khas untuk kanak-kanak perempuan. 

Salah satunya adalah Hokkien Girl School yang ditubuhkan di Kuching pada 1922. Sumber lain mengatakan sekolah ini ditubuhkan pada 1928 yang membuka satu bahagian untuk pendidikan perempuan. 

Di Sibu terdapat usaha dilakukan oleh Rev James Hoover dan isterinya untuk membantu pendidikan kanak-kanak Cina.

Peperiksaan

Dalam aspek penilaian pelajar-pelajar ini, kerajaan Brooke memberi peluang kepada anak-anak Sarawak menduduki peperiksaan Cambridge. 

Peperiksaan ini diadakan mengikut tiga tahap iaitu asas, rendah dan tinggi.  Pelajar perempuan juga layak mengambil peperiksaan ini.

Pada 1935, pencapaian pelajar perempuan ini agak sedikit kebelakang jika dibanding dengan pelajar lelaki dalam peperiksaan ini. 

Pada tahap asas misalnya hanya dua pelajar wanita yang lulus berbanding tiga bagi pelajar lelaki. Tahap rendah pula hanya dua orang pelajar wanita lulus berbanding dengan 15 bagi pelajar lelaki. Tahap tinggi pula tiada pelajar perempuan yang lulus berbanding dua pelajar lelaki.

Perkembangan pendidikan perempuan di Sarawak ini semakin berkembang maju tetapi dihalang apabila meletusnya Perang Dunia Kedua. 

Pemerintahan Jepun menggunakan kesempatan memerintah Sarawak untuk menekankan pendidikan berasaskan budaya Jepun. Keadaan serba serbi kekurangan ini membantutkan perkembangan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak perempuan di Sarawak.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Fahami sebab AirBorneo guna kod MY

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.