

KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) hari ini mengambil tindakan tegas dengan menyita dan menunda beberapa kenderaan terbiar yang dikesan di sekitar kawasan komersial Desa Ilmu.
Tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa MPKS selepas pemilik kenderaan terlibat gagal mengalihkan aset masing-masing walaupun notis amaran telah dikeluarkan sebelum ini.
Menurut kenyataan rasmi MPKS, operasi berkenaan dijalankan susulan tamat tempoh notis amaran selama tujuh hari yang diberikan kepada pemilik kenderaan bagi membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya.
“Tiada sebarang tindakan susulan diambil oleh pemilik kenderaan dalam tempoh yang ditetapkan. Sehubungan itu, pihak Majlis terpaksa mengambil tindakan sitaan dan penundaan terhadap kenderaan yang gagal mematuhi arahan tersebut,” jelas kenyataan itu.
Semua kenderaan yang disita kini ditempatkan sementara di perkarangan Pejabat MPKS untuk tujuan rekod, dokumentasi serta pemeriksaan lanjut sebelum tindakan seterusnya diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
MPKS menjelaskan bahawa tindakan berkenaan bukan semata-mata bertujuan penguatkuasaan, sebaliknya bagi menjamin kebersihan kawasan komersial, mengelakkan pembiakan vektor serta memastikan keselamatan awam khususnya pejalan kaki dan pengguna jalan raya.
Selain itu, penguatkuasaan tersebut turut bertujuan memastikan pengurusan ruang awam yang lebih teratur, termasuk mengelakkan penyalahgunaan petak letak kenderaan yang sepatutnya digunakan oleh orang ramai yang berurusan di kawasan terbabit.
Sehubungan itu, MPKS menegaskan pemeriksaan dan pemantauan terhadap kenderaan terbiar akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh kawasan pentadbirannya dan menggesa pemilik kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan demi menjaga imej serta kebersihan perbandaran Kota Samarahan.
Oleh Adi Safarman