
RABAT: Presiden FIFA, Gianni Infantino mengecam “beberapa pemain Senegal” susulan “adegan tidak boleh diterima” yang mencemari kemenangan mereka pada final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila pasukan itu bertindak meninggalkan padang sebagai protes terhadap penalti yang diberikan kepada Maghribi.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tingkah laku beberapa ‘penyokong’ serta beberapa pemain dan anggota kejurulatihan Senegal. Meninggalkan padang permainan dengan cara ini adalah tidak boleh diterima,” kata Infantino dalam satu kenyataan kepada AFP.
“Ia tidak boleh diterima untuk meninggalkan padang permainan seperti itu, dan pada masa sama, keganasan juga tidak boleh ditoleransi dalam sukan kita.”
Perlawanan kemuncak bola sepak Afrika itu dicemari insiden apabila kebanyakan pemain Senegal meninggalkan padang pada lewat masa kecederaan ketika perlawanan masih terikat 0-0, selepas Maghribi diberikan sepakan penalti hasil semakan VAR susulan cabaran ke atas Brahim Diaz.
Bekas bintang Liverpool, Sadio Mane, kekal berada di padang dan dilihat memujuk rakan sepasukannya untuk kembali ke padang bagi membolehkan penalti diambil.
Pemain Senegal sebelum itu berang apabila jaringan mereka dibatalkan di hujung padang satu lagi akibat kekasaran yang disifatkan terlalu lembut, beberapa minit sebelum insiden penalti.
Pada masa sama, kekecohan tercetus di tempat duduk penonton apabila sebahagian penyokong Senegal cuba menceroboh padang dan bertelagah dengan petugas keselamatan.
Perlawanan tertangguh hampir 20 minit sebelum Diaz mengambil penalti, namun percubaan ‘panenka’ yang lemah itu berjaya diselamatkan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.
Pape Gueye kemudian muncul wira apabila menjaringkan gol menarik pada minit keempat masa tambahan untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada Senegal.
Infantino, sambil mengucapkan tahniah kepada Maghribi atas “kejohanan yang hebat, sama ada sebagai naib juara dan juga tuan rumah yang cemerlang” — satu suntikan moral menjelang penganjuran bersama Piala Dunia 2030 — menegaskan pasukan perlu mematuhi keputusan pengadil.
“Kita mesti sentiasa menghormati keputusan pegawai perlawanan di dalam dan di luar padang,” katanya.
“Pasukan perlu bersaing di atas padang dan mengikut Undang-Undang Permainan, kerana apa-apa yang kurang daripada itu boleh menjejaskan asas sebenar bola sepak.”
Infantino, yang berharap insiden sama tidak berulang pada Piala Dunia tahun ini yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, berkata imej seperti yang berlaku semalam memberi mesej yang salah kepada peminat di seluruh dunia.
“Ia juga tanggungjawab pasukan dan pemain untuk bertindak secara bertanggungjawab dan menjadi contoh yang betul kepada penyokong di stadium serta jutaan penonton di seluruh dunia,” katanya.
“Adegan buruk yang disaksikan hari ini mesti dikecam dan tidak boleh berulang. Ia langsung tiada tempat dalam bola sepak dan saya menjangkakan badan disiplin CAF akan mengambil tindakan sewajarnya.” – AFP