
PETRA JAYA: AirBorneo merancang memperoleh pesawat jet seperti Boeing 737 atau Airbus A320 bagi menyokong peluasan operasi ke laluan domestik dan serantau, termasuk Kuala Lumpur dan Singapura, namun jumlah sebenar pesawat masih dalam perbincangan dan tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata perolehan pesawat jet itu dirancang secara berperingkat, sejajar dengan fasa pengembangan AirBorneo dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Beliau berkata, buat masa ini AirBorneo mengendalikan lapan pesawat ATR dan tiga pesawat Twin Otter bagi menyokong perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sarawak, namun pesawat berkenaan hanya sesuai untuk laluan jarak dekat.
“Untuk tempoh awal, terdapat perancangan mendapatkan sekitar tiga pesawat jet, tetapi ia belum dimuktamadkan dan masih tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah serta kesediaan pasaran,” katanya pada sidang media selepas kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, di Bangunan Baitulmakmur II, di sini hari ini.
Sementara itu, Megat Ardian berkata pihak pengurusan kini sedang memuktamadkan pelan rangkaian penerbangan sebelum menentukan keperluan armada yang bersesuaian.
“Jumlah dan jenis pesawat akan ditentukan berdasarkan keperluan rangkaian penerbangan serta fasa perkembangan syarikat. Perbincangan bersama lembaga pengarah masih berjalan dan keputusan akan dibuat secara berperingkat,” katanya.
Menurut beliau ketika ini, AirBorneo mengendalikan lapan pesawat ATR dan enam pesawat Twin Otter yang beroperasi dari dua hab utama termasuk Kota Kinabalu, dengan operasi dilaporkan berjalan lancar dan stabil tanpa gangguan.
Dalam pada itu, Megat Ardian juga mengesahkan bahawa semua kakitangan MasWing sebelum ini sudah diserap sepenuhnya ke AirBorneo.
Oleh Shahrul Qaizat