
BETONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Betong terus memperketat kawalan jalan raya menerusi pelaksanaan Ops Harian yang menyasarkan pemeriksaan menyeluruh terhadap pengguna jalan raya di sekitar kawasan Bandar Betong, hari ini.
Operasi yang dilaksanakan oleh Unit Operasi JPJ Cawangan Betong itu memfokuskan kepada rondaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang serta peraturan jalan raya yang berkuat kuasa.
Menurut kenyataan rasmi JPJ Sarawak, sebanyak 70 kenderaan melibatkan kenderaan persendirian dan perdagangan telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam menjaga keselamatan awam.

Hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat pemandu yang melakukan pelbagai kesalahan serius, antaranya memandu tanpa lesen sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta beberapa kesalahan teknikal kenderaan.
JPJ Sarawak memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan tegas telah diambil terhadap pesalah terbabit selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada tanpa sebarang kompromi.
Dalam masa sama, pihak JPJ menegaskan operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan secara berkala dan berfokus bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar sentiasa memastikan dokumen pemanduan lengkap dan sah di samping menitikberatkan aspek keselamatan serta keadaan teknikal kenderaan sebelum memulakan perjalanan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Oleh Adi Safarman