
RABAT: Senegal muncul juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas jaringan kemenangan Pape Gueye pada masa tambahan menewaskan tuan rumah Maghribi 1-0 dalam perlawanan akhir penuh kontroversi yang menyaksikan juara akhirnya bertindak keluar padang di penghujung perlawanan.
Brahim Diaz hampir menghadiahkan trofi kepada Maghribi menerusi sepakan penalti kontroversi pada minit ke-24 masa kecederaan separuh masa kedua, ketika kekecohan tercetus di tempat duduk penonton.
Namun, percubaan ‘Panenka’ lemah pemain sayap Real Madrid itu mudah diselamatkan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy, yang jelas mengambil kesempatan daripada gangguan dan kelewatan panjang sebelum penalti diambil.

Perlawanan di Stadium Prince Moulay Abdellah kemudian berlanjutan ke masa tambahan, dan rembatan padu Pape Gueye pada minit ke-94 memastikan Senegal membawa pulang kejuaraan.
“Kami rasa ada ketidakadilan. Sebelum penalti itu, kami fikir sepatutnya mendapat gol dan pengadil tidak merujuk VAR,” kata Gueye, yang turut mendedahkan Sadio Mane menggesa rakan sepasukan kembali ke padang untuk menghadapi situasi penalti.
“Sadio suruh kami masuk semula dan kami menyusun semula fokus. Edouard buat penyelamatan, kami kekal tenang, jaringkan gol dan menang.”
Penalti kontroversi itu diberikan oleh pengadil dari Congo, Jean-Jacques Ndala, tepat selepas tamat lapan minit masa kecederaan yang diperuntukkan, susulan semakan VAR terhadap cabaran El Hadji Malick Diouf ke atas Diaz.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan Senegal dan penyokong mereka.
Beberapa pemain Senegal dilihat keluar padang, manakala sebahagian penyokong di satu hujung stadium membaling kerusi dan objek lain serta cuba menceroboh padang sebelum dikawal polis dan petugas keselamatan.
Kemarahan Senegal bermula lebih awal apabila gol Ismaila Sarr pada minit kedua masa kecederaan dibatalkan kerana kekasaran.
Gueye muncul wira
Kegagalan Diaz menyempurnakan penalti ternyata menaikkan semangat Senegal, yang akhirnya menjaringkan gol pada minit keempat masa tambahan di hadapan 66,526 penonton.
Sadio Mane merampas bola di tengah padang sebelum menghantar kepada Idrissa Gana Gueye, yang kemudian melorongkan bola kepada Pape Gueye.
Pemain tengah Villarreal itu mara ke kotak penalti dan melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.

Maghribi hampir memaksa penentuan penalti apabila tandukan Nayef Aguerd mengenai palang pada separuh masa kedua masa tambahan, namun hasrat mereka tidak kesampaian.
Kekalahan itu amat perit buat Maghribi yang mengimpikan kejuaraan di laman sendiri bagi menamatkan penantian 50 tahun untuk menjadi juara Afrika buat kali kedua.
Ini merupakan gelaran AFCON kedua Senegal dalam tiga edisi terakhir, selepas menewaskan Mesir menerusi penentuan penalti di Yaounde pada 2022 untuk kejuaraan pertama mereka.
Senegal kini menanti cabaran Piala Dunia, sambil berharap dapat memujuk bintang mereka, Mane, untuk terus beraksi di AFCON selepas beliau menyatakan perlawanan akhir ini adalah yang terakhir buatnya di kejohanan tersebut.
“Imej yang kita pamerkan tentang bola sepak Afrika agak memalukan. Menghentikan perlawanan lebih 10 minit ketika seluruh dunia menonton bukan sesuatu yang membanggakan,” kata jurulatih Maghribi, Walid Regragui, yang menggesa pasukannya bangkit lebih kuat.
Sebarang siasatan terhadap insiden memalukan itu dijangka meneliti kelakuan pasukan dan penyokong Senegal, selain aspek penganjuran oleh pihak Maghribi.
Perlawanan akhir yang tegang dan kurang aksi gol itu akhirnya diwarnai drama lewat, dengan Senegal bertahan daripada penalti sebelum Gueye menjadi wira – jaringan pertama Senegal dalam sejarah final AFCON selepas gagal menjaringkan gol dalam tiga penampilan akhir sebelum ini.
Ia penamat penuh derita buat Maghribi, dengan ramai penyokong meninggalkan stadium sebelum wisel penamat pada malam yang sejuk dan hujan. – AFP