KUALA LUMPUR: Benua Afrika yang mempunyai penduduk lebih 1.3 bilion orang dan dijangka meningkat kepada 2.5 bilion orang menjelang 2050, berpotensi menjadi pasaran minyak sawit Malaysia membabitkan permintaan daripada kalangan industrinya termasuk makanan, kosmetik dan farmaseutikal, demikian menurut beberapa pakar komoditi berkenaan
Pengurus Perdagangan Kanan Sime Darby Oils Afrika Selatan, Dawie Theron berkata, ini didorong oleh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pembekal produk-produk sawit yang berkualiti serta mapan.
“Kelebihan itu sewajarnya diteroka sepenuhnya kerana terdapat peluang mencukupi bagi pertumbuhan bekalan minyak sawit di kawasan seperti subSahara Afrika (SSA), khususnya di Afrika Selatan,” katanya.
Beliau merupakan antara panelis sesi webinar ‘Sub-Saharan Africa-The Next Frontier for Malaysian Palm Oil?’ yang dianjurkan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di sini, semalam.
Mengulas selanjutnya, Theron berkata, Afrika Selatan juga mencontohi piawaian-piawaian Eropah dalam aspek keselamatan dan kualiti makanan.
Atas alasan itu, katanya, keperluan kelestarian dan penyumberan yang bertanggungjawab di Eropah akan turut diamalkan oleh pasaran Afrika Selatan dalam masa terdekat.
“Kita akan menyaksikan aspek harga yang (sebelum ini) lebih diutamakan berbanding kelestarian sebaliknya beralih kepada keutamaan terhadap kualiti dan kemampanan secara menyeluruh,” katanya.
Malah, beliau berkata jenama-jenama global seperti Nestle, Aspen, Ferrero Rocher dan Unilever turut mengutamakan aspek kualiti dan kelestarian bagi makanan untuk pengeluaran makanan mereka di Afrika Selatan.
Sehubungan itu, katanya, Sime Darby Oils di Afrika Selatan baru sahaja menyiapkan projek baharu yang akan membawa masuk aspek ‘Tiada Pembasmian Hutan, Tiada Hutan Gambut dan Tiada Eksploitasi’ dari Malaysia ke pasaran Afrika Selatan.
Menurutnya, ini akan membabitkan olein sawit rendah gliserida dan mempunyai pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang dibawa dari Malaysia sejak 18 bulan lepas.
Theron turut menyifatkan piawaian Malaysia iaitu pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) juga wajar dipromosi dan diperkenalkan kepada jenama global secara lebih berkesan.
“MPOC juga perlu mempertimbangkan semula untuk mewujudkan sebuah pejabat serantau di Afrika Selatan yang dapat memberi bantuan dan nasihat. Menerusi usaha itu, kita dapat memulakan usaha untuk menangani salah tanggapan terhadap minyak sawit dan melonjakkan serta mempromosi kualiti dan kehebatan produk berasaskan minyak sawit Malaysia,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi panelis yang juga Eksekutif Pemasaran MPOC, Nor Iskahar Nordin berkata, permintaan dari negara-negara seperti Mozambique, Madagascar, Angola dan Mauritania juga semakin meningkat.
“Peningkatan selera pengguna dan pertumbuhan dicatatkan oleh hotel, restoran dan kafe (Horeca) di negara-negara itu juga semakin berubah dan pasca-Covid-19 ini kita menyaksikan lonjakan penggunaan dari segi makanan yang hanya meningkatkan lagi permintaan terhadap minyak sawit.
“Rantau SSA juga dijangkakan mengimport sebanyak 2.4 juta hingga 2.5 juta tan minyak sawit tahun ini yang diunjurkan bertambah kepada 2.6 juta hingga 27 juta tan tahun depan,” katanya.
Nor Iskahar berkata, masalah kekurangan bekalan minyak dan lelemak di SSA yang dijangka berlaku dalam masa terdekat juga menyaksikan minyak sawit yang kompetitif dari segi kos, banyak kegunaan dan berkhasiat dilihat sebagai mampu memenuhi kekurangan tersebut.
Beliau berkata, eksport minyak sawit Malaysia ke SSA bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 juga meningkat 37 peratus kepada 1.69 juta daripada 1.23 juta pada tempoh sama tahun lepas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Warrior (jenama Afrika) Fatima Alimohamed, menggesa pengeksport minyak sawit Malaysia untuk turut menjadikan Afrika sebagai destinasi pelaburan minyak sawit mereka.
“Benua ini mempunyai tanah, lautan serta cuaca dan tenaga kerja yang ramai yang menjadikannya destinasi serba lengkap bagi tujuan pelaburan minyak sawit Malaysia.
“Ia juga bukannya asing bagi kita. Malah, tanaman itu juga berasal dari Afrika dan kini kembali ke tempat asalnya,” katanya.
Fatima juga mempelawa syarikat-syarikat untuk turut melabur dalam usaha latihan dan kerjasama pembangunan dengan (syarikat) perladangan sedia ada dan baharu.
Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi oleh benua itu adalah kekurangan aspek automasi dalam sektor perladangan sawit berbanding Asia serta peri pentingnya untuk Afrika mampu menampung keperluan secara sendiri.- Bernama