Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Fahami sebab AirBorneo guna kod MY
  • KOLUMNIS

Fahami sebab AirBorneo guna kod MY

Utusan Sarawak 6 hours ago

AIRBORNEO secara rasmi menggunakan kod MY sebagai pengenalan Sistem Kawalan Berlepas (DCS). Meskipun ringkas, kod ini memainkan peranan penting dalam memastikan kecekapan pengurusan proses berlepas penumpang sekali gus boleh mempengaruhi kelancaran keseluruhan pengalaman perjalanan.

Kod ini sebenarnya dapat dilihat seawal proses pemilihan destinasi kerana ia dipaparkan sekali bersama nombor penerbangan. Namun begitu, kod ini sering tidak diberi perhatian kerana kebanyakan penumpang lebih menumpukan kepada tarikh dan masa setelah memilih destinasi penerbangan.

Jadi, apakah fungsi kod ini sebenarnya? Bagi kebanyakan penumpang yang kerap menaiki pesawat, mereka pasti menyedari bahawa kod ini seumpama ‘peta’ laluan yang mengiringi perjalanan mereka bermula daripada proses mendaftar masuk bagasi hinggalah menuntutnya semula di destinasi ketibaan.

Setiap syarikat penerbangan mempunyai kod penerbangan masing‑masing yang unik. Kod ini diselaraskan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bagi memastikan ia diterima pakai di seluruh dunia.

Kod MY pada asalnya turut digunakan oleh MASwings walaupun operasi harian mereka lebih banyak menggunakan kod MH. Hal ini kerana kod MH merupakan kod rasmi Malaysia Airlines sebagai syarikat induk.

Justeru keputusan AirBorneo untuk mengekalkannya merupakan langkah yang bijak. Sebarang perubahan atau permohonan untuk mendapatkan kod baharu lazimnya mengambil masa yang panjang dan melibatkan kos kewangan yang besar.

Malah, sekiranya AirBorneo berhasrat menggunakan kod AB, pilihan itu juga tidak dapat dipertimbangkan kerana kod tersebut telah pun digunakan oleh Sun Air Bulgaria.

Pengekalan kod MY ini dapat memudahkan urusan sistem sedia ada di lapangan terbang dan dalam kalangan ejen pelancongan tanpa mengganggu atau menunda operasi yang sedang berjalan kerana hanya nama syarikat sebagai entiti baharu yang perlu dikemas kini.

PENERBANGAN… AirBorneo secara rasmi menggunakan kod MY sebagai pengenalan Sistem Kawalan Berlepas (DCS).

DCS ialah sistem teras yang digunakan oleh syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang. Oleh itu, kod MY ini berperanan sebagai pengenalan utama yang menyelaras pelbagai komponen dalam rantaian operasi, termasuk pemprosesan penumpang, pengendalian bagasi dan penyediaan dokumen penerbangan.

Bagi penumpang, perhatian mereka biasanya tertumpu kepada nombor penerbangan apabila tiba di lapangan terbang, sama ada untuk mencari kaunter daftar masuk, pintu berlepas atau mendapatkan maklumat di papan kenyataan.

Nombor penerbangan yang tertera ini menjadi peta ringkas yang memandu pergerakan mereka dari satu ruang ke ruang yang lain tanpa perlu memahami keseluruhan sistem lapangan terbang.

Sungguhpun fokus mereka hanya pada angka yang dipaparkan, kod MY sebenarnya menggerakkan keseluruhan proses di belakang tabir.

Kod ini menghubungkan Rekod Nama Penumpang (RNP) daripada pangkalan data tempahan dengan sistem daftar masuk yang mengesahkan kehadiran penumpang.

Seterusnya, sistem memperuntukkan tempat duduk berdasarkan berat pesawat dan pada masa sama menghasilkan manifes penerbangan bagi memastikan status penumpang direkodkan secara masa nyata.

Merujuk garis panduan dan dokumentasi operasi IATA, DCS yang cekap dapat membantu mengurangkan risiko gangguan operasi melalui automasi pada setiap peringkat pengurusan.

Kecekapan ini seterusnya menyokong peningkatan Prestasi Tepat Masa (OTP) kerana setiap langkah pemprosesan dapat dijalankan dengan lebih pantas dan seragam.

Sekalipun berlaku perubahan jadual disebabkan cuaca buruk, kesesakan lalu lintas di lapangan terbang, kelewatan penerbangan atau pertukaran pesawat, penyatuan data dalam DCS memastikan semua maklumat penumpang, bagasi dan dokumen operasi dikemas kini secara serentak tanpa menjejaskan aliran kerja di lapangan terbang.

Sistem ini membantu memudahkan syarikat penerbangan untuk mengenal pasti penumpang yang telah mendaftar masuk, menyusun semula tempat duduk dan merancang pemindahan penumpang ke penerbangan alternatif sekiranya perlu.

Setiap bagasi yang dilabelkan dengan kod ini dalam bentuk kod bar akan mudah dijejak sepanjang perjalanan bagi memastikan beg yang dimuatkan ke dalam pesawat benar-benar milik penumpang yang sama.

Langkah ini penting untuk mengelakkan kehilangan serta meminimumkan sebarang risiko keselamatan. Melalui sistem penjejakan ini, setiap pergerakan bagasi direkodkan ketika daftar masuk, semasa ia dipindahkan ke kawasan kargo, sewaktu pertukaran pesawat dan ketika tiba di destinasi.

Setiap imbasan memberikan pengesahan bahawa bagasi berada di lokasi yang sepatutnya, sekali gus membolehkan petugas mengesan sebarang ketidakpadanan dengan cepat dan mengambil tindakan sebelum pesawat berlepas.

Peranan kod ini juga melangkaui urusan penumpang dan bagasi semata-mata. Ia turut menggerakkan aspek teknikal yang kritikal seperti pengiraan berat dan imbangan pesawat.

Setiap data yang direkodkan di bawah kod MY akan digabungkan untuk menghasilkan dokumen loadsheet iaitu rujukan penting yang membolehkan juruterbang membuat keputusan operasi dengan selamat dan tepat sebelum pesawat berlepas.

Loadsheet mengandungi maklumat berat pesawat secara keseluruhan, termasuk berat kosong pesawat, jumlah bahan api, berat kargo serta berat penumpang dan bagasi.

Sebarang perubahan akan dikira secara automatik bagi memastikan keseimbangan pesawat sentiasa terpelihara. Agihan tempat duduk penumpang, penyusunan bagasi dan kuantiti bahan api akan diselaraskan supaya kedudukan pusat graviti pesawat berada dalam had yang dibenarkan.

Sekiranya agihan berat tidak seimbang, misalnya terlalu banyak beban di bahagian belakang, pesawat berisiko untuk mengalami ketidakstabilan semasa fasa pelepasan atau pendakian.

Dalam kebanyakan operasi penerbangan komersial di lapangan terbang utama, DCS berfungsi hampir sepenuhnya secara automatik. Contohnya, bagi pengiraan berat penumpang, sistem ini merujuk piawaian antarabangsa bagi mempercepatkan proses sekali gus memudahkan operasi skala besar.

Namun situasinya berbeza bagi operasi di lapangan terbang landasan pendek (STOLport) yang menggunakan pesawat kecil seperti DHC‑6 Twin Otter. Kekangan infrastruktur, saiz pesawat yang lebih kecil dan bilangan penumpang yang terhad menjadikan penggunaan data purata kurang sesuai.

PESAWAT AirBorneo.

Pesawat Twin Otter hanya dapat memuatkan maksimum 19 penumpang. Oleh itu, perbezaan berat antara individu boleh memberi kesan yang ketara terhadap imbangan keseluruhan pesawat.

Atas sebab ini, DCS di persekitaran STOLport tidak dapat beroperasi secara automasi sepenuhnya dan memerlukan input manual yang lebih terperinci.

Maka dengan itu, penumpang perlu menimbang berat badan sebelum menaiki pesawat bukan kerana sistem tidak cekap, tetapi kerana ketepatan data menjadi faktor keselamatan utama.

Berat sebenar setiap penumpang dimasukkan ke dalam pengiraan bagi memastikan penyusunan tempat duduk dan muatan bagasi dapat diatur dengan tepat.

Pendekatan ini memberikan juruterbang gambaran yang lebih realistik tentang keadaan pesawat sebelum berlepas, terutamanya apabila beroperasi di landasan yang pendek dan persekitaran mencabar.

Walaupun buat masa ini laluan penerbangan yang diuruskan AirBorneo masih terhad, namun bagi memastikan kod MY dapat diakses oleh pasaran global, AirBorneo menjalinkan kerjasama strategik dengan Sabre, sebuah gergasi teknologi pelancongan yang menyediakan sistem pengedaran global (GDS).

Melalui kerjasama ini, AirBorneo dapat memanfaatkan infrastruktur teknologi Sabre untuk menghubungkan data inventori penerbangan mereka dengan beribu-ribu agensi pelancongan di seluruh dunia.

Apabila kod MY dimasukkan ke dalam sistem Sabre, ejen pelancongan di mana-mana bandar di dunia, sama ada di London mahupun Tokyo, dapat melihat kekosongan tempat duduk dan membuat tempahan secara masa nyata.

Keupayaan ini meletakkan AirBorneo setaraf dengan syarikat penerbangan antarabangsa yang lain dari segi kebolehlihatan dan capaian pasaran.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: PCDS 2030: Fasa kedua paling mencabar, pencapaian hasil sebenar untuk dirasai rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.