
BINTULU: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memperkukuh peranannya dalam membentuk sahsiah dan kepimpinan belia di Sarawak serta Sabah menerusi pelancaran kumpulan pengakap di bawah program Pengakap Berasaskan Komuniti (CBS) di negeri ini.
Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral (B) Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin berkata pendekatan CBS membolehkan pergerakan pengakap diperluas secara lebih menyeluruh serta responsif terhadap keperluan komuniti setempat.
Beliau berkata meskipun pengakap berasaskan sekolah telah memberi sumbangan besar sejak sekian lama, pendekatan berasaskan komuniti perlu diperluas bagi memastikan lebih ramai belia dapat menikmati manfaat menerusi inisiatif itu.
“Melalui CBS, pengakap dibawa terus ke kampung, kawasan perumahan dan komuniti setempat, sekali gus menjadikannya lebih mudah diakses serta lebih dekat dengan keperluan sebenar masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan di sini.
Mengulas pelaksanaan CBS di Sarawak, Mohd Zin berkata pendekatan itu amat bersesuaian dengan negeri ini yang mempunyai keluasan geografi yang luas serta kepelbagaian komuniti.
Beliau berkata CBS membuka peluang kepada belia tanpa mengira lokasi dan latar belakang pendidikan untuk menyertai pengakap serta memperoleh manfaat pembentukan sahsiah, disiplin dan kepimpinan.
Dalam pada itu, beliau berkata PPM menetapkan sasaran untuk meningkatkan keahlian sehingga sejuta orang dalam tempoh beberapa tahun akan datang, khususnya melalui pelaksanaan CBS secara meluas di seluruh negara.
Menurut Mohd Zin, ketika ini PPM mempunyai 700,000 ahli.
Majlis pelancaran CBS disempurnakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Turut hadir Penasihat di Jabatan Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming serta Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti.
-Bernama