KRISIS Covid-19 yang menyebab kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) atau PKP Pemulihan(PKPP) tidak menghalang warga SMK Dalat untuk menyerlahkan bakat.
Antaranya, Ikon Guru (Seni) Sarawak muncul naib johan e-Pertandingan Mencipta dan Mendeklamasi Puisi Kemerdekaan(e-PMMPK) sempena Hari Kebangsaan baru baru ini.
Pada pertandingan tersebut, guru dari SMK Dalat Juni Nor, mengetengahkan sajak berjudul ‘Tentang Jiwa Bernegara, Korona dan Penjana’.
e-PMMPK adalah anjuran Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia(BPI KPM) yang bertemakan Malaysia Prihatin telah melabuhkan tirainya menerusi pengumuman para pemenang yang telah diadakan di Dewan Serbaguna KPM Putrajaya.
Adalah difahamkan guru dari SK Ulu Bole Sipitan Sabah, Ainon Nasibah Johar (Rumah Ini Negara Kita) telah dinobatkan sebagai johan, manakala tempat ketiga jatuh kepada guru dari SMK Sri Tanjung Benut Pontian Johor, Abdul Malik Mohd Shah(Sebuah Pengorbanan Dedikasi Buat Bangsa Prihatin).
Pemenang pertandingan menerima hadiah wang tunai dan sijil pada majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM), Datuk Kamil Mohamad.
Menurut Juni Nor, Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia KPM Tahun 2020 juga diselitkan dalam acara tersebut.
Penyelaras aktiviti, Mohd Zamri Mohamed Noor, mendedahkan bahawa pertandingan e-PMMPK adalah yang julungkalinya dianjurkan oleh BPI KPM secara atas talian disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini.
Pertandingan berkenaan adalah terbuka kepada semua warga pendidik di seluruh Malaysia dan penyertaan dikatakan amat menggalakkan.
Objektif pertandingan ialah untuk mencungkil bakat serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan warga KPM melalui pertandingan dan penghasilan karya kreatif secara atas talian.
Antara syarat pertandingan adalah setiap sajak mestilah ciptaan sendiri dan perlu dideklamasikan dengan rakaman yang berdurasi tidak melebihi empat minit, dengan penilaian juri berdasarkan kepada kriteria ketepatan tema, kreativiti, penyampaian dan penampilan.
Sementara itu, Juni bergabung dengan Abdul Gafar Mahdi mengetuai sekumpulan pelajar dari sekolah tersebut dalam Acara Membaca Puisi Dunia anjuran Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Negeri Sembilan dan Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR).
Bertemakan “Suaramu ke Riba Alam” acara yang diadakan pada petengahan bulan Julai itu telah disertai oleh 870 orang peserta dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei Darussalam, China, India, Belgium dan Algeria.
Objektif penganjuran antara lain adalah untuk menzahirkan kecintaan kepada alam, sekaligus memberi kesedaran kepada masyarakat dunia akan kepentingan melestarikan alam.
Guru Penyelaras delegasi peserta dari SMK Dalat, Abdul Gafarpada acara itu menganggap ia sebagai sesuatu pendedahan yang amat berguna bagi mereka.
“Ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk menyerlahkan bakat mereka dalam pengucapan puisi. Melalui acara ini, pelajar juga berpeluang mendapatkan markah penglibatan tahap tertinggi (antarabangsa) dalam pentaksiran kokurikulum (PAJSK),” ujarnya.
Adalah difahamkan dalam acara baca puisi ini, rakaman video para peserta disiarkan di Facebook dengan tanda pagar #suaramukeribaalam.
Bagi Juni selaku Ketua Panitia dan Guru Cemerlang Bahasa Melayu SMK Dalat, penyertaan mereka adalah merupakan satu acara yang bersifat murni dan dapat memupuk semangat mencintai alam khasnya kepada generasi muda.
“Program ini telah membuka peluang kepada semua warga Malaysia untuk turut serta memperkasa, menghargai dan membicarakan tentang maslahat mengapa alam sekitar harus dijaga dan dikekalkan ketika manusia begitu gelojoh mengejar pembangunan menerusi genre puisi,” kata Juni.
Selain Gafar dan Juni, delegasi dari Dalat ini terdiri daripada 10 orang pelajar iaitu, Sharifah Farrah Izzati Wan Ibrahim, Andrea Kamil, Jash Shereen Zaini, Patricia Anis, Marry Ann Klanal, Eizan Abdullah, Marnisha Majedi, Hani Juita Natasya Juni, Dewi Ratna Kartika Juni, Nicholas Wan Saba.
Dan sebelum itu, pada akhir bulan Jun, sekolah yang berada di pinggir pekan Dalat itu, telah melakarkan kejayaan gemilang di peringkat kebangsaan apabila kumpulan inovasi pelajar dan guru dari sekolah berkenaan berjaya merangkul dua emas .
Butiran emas yang diraih pada e-Seminar Penyelidikan dan Inovasi dalam Pendidikan (e-SPeDIP2020) tersebut adalah melalui produk inovasi kumpulan pelajar yang dinamakan sebagai permainan PINTAR BAHASA dan produk inovasi guru, iaitu Modul INSTRUKA.
Selain itu, mereka juga menerima anugerah khas inovasi terbaik pada program anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri daripada pada 24 dan 25 Jun 2020, berkenaan.
“ Lebih menggembirakan pasukan inovasi pelajar SMK Dalat apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah khas inovasi terbaik kategori pelajar sekolah menengah dalam seminar yang dijalankan secara atas talian oleh pihak penganjur berikutan penularan wabak pandemik COVID-19,” ujar Abdul Gafar.
Justeru beliau yang merupakan guru pembimbing kepada pasukan inovasi pelajar SMK Dalat serta peserta inovasi guru dengan modul INSTRUKA juga meluahkan kesyukurannya terhadap kejayaang yang amat membrangsangkan itu.
“Kami bersyukur pertandingan ini dapat diadakan dengan lancar, walaupun secara atas talian. Kami gembira kerana dapat melepasi sasaran dengan meraih emas dalam pertandingan ini. Antara cabaran yang dihadapi adalah untuk menyempurnakan produk inovasi semasa tempoh PKP kerana pergerakan yang agak terhad,” katanya lagi.
Program secara atas talian itu telah disertai 176 orang peserta dalam kategori penyelidikan, dan 75 penyertaan dalam kategori inovasi dari seluruh negara.
Oleh Henry B Siyu