
BALAI RINGIN: Kelas Ngajat Edisi Ke-24 anjuran Kelab Main Asal Dayak Sarawak (PEMADAS) diteruskan bagi memartabatkan tarian tradisional Dayak.
Program ini dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman, Korea Musit, yang menekankan kepentingan memelihara warisan budaya Dayak daripada terus terhakis dek arus pemodenan
Menurutnya, kelas ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada teknik dan gerak asas tarian Ngajat, malah bertujuan menyemai rasa cinta, bangga dan tanggungjawab dalam kalangan generasi muda terhadap adat serta budaya nenek moyang.
“Tarian Ngajat bukan sekadar persembahan, tetapi lambang jati diri, sejarah dan roh budaya masyarakat Dayak.
“Usaha seperti ini amat penting bagi memastikan adat dan budaya kita terus dipelihara, dihormati serta diwarisi generasi akan datang,” katanya.
Seramai 15 peserta wanita telah mendaftar bagi Kelas Ngajat Edisi Ke-24, yang akan diadakan setiap hari Ahad bermula minggu hadapan di Dewan Kampung Bayur.
Setiap sesi latihan berlangsung selama dua jam dan diteruskan secara berterusan selama dua bulan.
Beliau turut menggalakkan peserta mengikuti latihan dengan penuh disiplin dan kesungguhan sebagai sumbangan bermakna dalam mengangkat serta memartabatkan seni tarian tradisional Ngajat di peringkat komuniti dan negeri.
“Saya berharap edisi kali ini menjadi platform berterusan bagi melahirkan penari Ngajat yang berkemahiran, berpengetahuan serta memahami nilai dan falsafah budaya Dayak secara mendalam,” ujarnya.
Turut hadir, Pengerusi PEMADAS, Ali Singka.
Oleh Tarani Lanting