Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Kontraktor rugi RM460,000 terjerat skim pelaburan palsu
  • JENAYAH

Kontraktor rugi RM460,000 terjerat skim pelaburan palsu

Utusan Sarawak 6 hours ago
GAMBAR fail KPD Sarikei, Superitendan Aswandy Anis

SARIKEI: Penipuan pelaburan dalam talian terus menyasarkan mangsa apabila seorang kontraktor persendirian kerugian kira-kira RM460,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang dipromosikan melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitendan Aswandy Anis, berkata mangsa lelaki berusia lingkungan 50-an tersebut telah membuat tujuh transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun bank berbeza atas nama syarikat berlainan, bermula 5 Disember 2025 hingga 5 Januari 2026.

“Mangsa dipercayai terpedaya selepas melihat iklan pelaburan di Facebook yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat sebelum dibawa ke aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam kumpulan ’65 EP’.

“Menurut mangsa, dia telah berhubung dengan seorang individu menggunakan nama ‘Luna Lee’ yang berperanan sebagai pengajar dalam kumpulan berkenaan dan telah dijanjikan keuntungan 25 peratus dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa telah diarahkan untuk mengikut arahan yang diberikan oleh suspek untuk melakukan pelaburan tidak wujud tersebut.

“Mangsa juga turut diajar untuk melakukan pembayaran yang besar di bank, mangsa perlu memaklumkan bahawa tujuan pembayaran adalah untuk tujuan renovasi rumah.

“Mangsa yang terpedaya dengan perlaburan tidak wujud tersebut telah melakukan sebanyak tujuh kali transaksi pemindahan wang lebih kurang berjumlah RM460,000 ke dalam dua akaun bank berbeza atas nama syarikat berlainan bermula pada 5 Disember 2025 hingga 5 Januari 2026,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tempoh transaksi dijalankan, mangsa tidak menerima sebarang pulangan keuntungan dan terus diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi mengeluarkan keuntungan sebelum menyedari dirinya telah diperdaya.

“Menyedari telah terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud tersebut, mangsa telah membuat laporan polis pada semalam.

“Saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah dan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dengan segera sekiranya menjadi mangsa penipuan. 

“Orang ramai juga digalakkan membuat semakan nombor telefon dan akaun bank melalui semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Orang ramai turut dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi Whoscall melalui gedung aplikasi Google Play atau Apple Store bagi membantu membuat keputusan sama ada mahu menjawab panggilan telefon yang diterima atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pembangun aplikasi Whoscall membolehkan nombor telefon yang tersenarai dalam pangkalan data Sistem Semak Mule JSJK ditandakan sebagai scammer oleh aplikasi tersebut.

“Selain itu, orang ramai juga disarankan mengimbas kod QR Scan Me bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan modus operandi jenayah komersil melalui akaun media sosial rasmi JSJK serta e-buku jenayah komersil yang disediakan.

“Maklumat terkini berhubung modus operandi penipuan juga boleh diperoleh dengan melayari laman Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak.

“Orang ramai yang memerlukan nasihat atau ingin menyalurkan maklumat berkaitan kes jenayah dalam talian boleh menghubungi infoline JSJK di talian 013-2111222 melalui WhatsApp atau SMS,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: 63 warga asing ditahan Ops Mahir di Kuching
Next: Polis Mukah tahan lelaki tempatan suspek penyalahgunaan dadah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.