KUCHING: Orang ramai dialu-alukan untuk hadir ke Jualan September Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid pada hari ini (25 September 2020) dan esok (26 September 2020) bagi menikmati tawaran istimewa yang diberikan kepada produk inovasi berasaskan Songket dan Keringkam.
Menurut Pengurus Besar Centexs, Mohd Shahren Mohd Yusri aktiviti jualan juga adalah untuk menarik lebih ramai pengunjung ke galeri.
“Namun begitu Songket (samping) dan Keringkam asli tetap dijual pada harga sebenar untuk memelihara prestij produk tersebut dan mengekalkannya di kelas premium.
“Koleksi Songket Sarawak dan Keringkam terbaharu malah ada yang sebelum ini tidak dijual oleh artisan bakal dijual sebagai salah satu tarikan istimewa,” ujarnya semasa perasmian Jualan September Songket dan Keringkam serta perasmian awal Kaleng Kuih di sini, semalam.
Beliau berkata acara tersebut juga menjadi platform untuk memperkenalkan usahawan komuniti Songket dan Keringkam di negeri ni.
“Peluang untuk usahawan dan pereka fesyen seperti Dato Asfarena, Wan Bynun, Harizan Khaider dan Che Che untuk memperkenalkan produk inovasi dan memberi inspirasi kepada graduan Centexs akan potensi pasaran produk warisan.
“Terdapat juga demonstrasi dan kiosk interaktif untuk pengunjung mempelajari sejarah, cara memproses dan produk di Songket dan Keringkam Gallery,” ujar beliau.
Pada majlis sama yang dihadiri isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, beliau turut merasmikan Kaleng Kueh di Heritage Central Cage.
Shahren turut mengatakan Kaleng Kueh adalah platform untuk membantu usahawan kuih-muih tradisional dengan menjual produk mereka di bawah satu jenama.
“Ia juga adalah bagi melestarikan kuih-muih tradisional seperti kuih cap, cuih cincin, penyaram, apam, bingka, takir, celorot dan sebagainya agar terus menjadi juadah yang setanding dengan juadah atau pastri di luar negara.
“Jika Amerika Syarikat mempunyai donut, Perancis berbangga dengan Croissant, Éclair dan Brioche, kita juga mempunyai kuih muih tradisional yang diwarisi secara turun temurun,” ujar beliau.
Oleh Alexandra Lorna