
KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 bakal lebih meriah apabila Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) melancarkan video muzik khas yang menonjolkan perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan seluruh masyarakat.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, video muzik tersebut bukan sekadar meraikan perayaan, sebaliknya mencerminkan semangat sebenar Kuching Selatan sebagai bandar raya yang rencam, inklusif dan bersatu padu.
Menurut beliau, tahun ini menandakan tahun ketiga MBKS menghasilkan video muzik Tahun Baharu Cina, sekali gus menjadikannya satu tradisi istimewa yang terus diperkukuh dari tahun ke tahun.
“Inisiatif ini menunjukkan komitmen MBKS untuk menggunakan kreativiti dan budaya sebagai platform memupuk perpaduan, kefahaman dan nilai positif dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media pelancaran video muzik tersebut di sini hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa antara objektif utama video berkenaan adalah menonjolkan keharmonian rakyat, selari dengan semangat Tahun Baharu Cina yang penuh kegembiraan dan harapan.
Katanya, sambutan perayaan itu katanya bukan hanya diraikan oleh masyarakat Cina, malah dikongsi bersama semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Video ini membawa mesej jelas bahawa kita bersatu sebagai satu komuniti, saling menyokong dan menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.
Dato Wee turut melahirkan rasa bangga apabila kesemua bakat yang terlibat dalam video muzik merupakan anak Sarawak, termasuk penyanyi, penari dan penggiat seni tempatan yang berganding bahu dengan satu semangat dan satu tujuan.

Kerjasama itu bukan sahaja menyerlahkan keindahan perpaduan, malah membuktikan kekuatan yang terhasil daripada usaha bersama serta kekayaan bakat kreatif.
Tambah beliau, penglibatan bukan sahaja masyarakat Cina tetapi juga Melayu dan Bumiputera menjadikan video tersebut lebih bermakna serta menjadi simbol jelas keharmonian yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian di bandar raya ini.
Pada sidang media itu, beliau memaklumkan bahawa video muzik berkenaan akan dilancarkan secara rasmi esok selepas sentuhan akhir, termasuk penyediaan sari kata, dan akan mula tersedia kepada orang ramai melalui platform penstriman termasuk YouTube.
Sebagai menyambut Tahun Kuda yang melambangkan kekuatan, ketabahan dan kemajuan, beliau menggesa agar semangat kerjasama dan perpaduan terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama.
“Semoga tahun ini memberi inspirasi kepada kita semua untuk mengeratkan hubungan, memperdalamkan kefahaman antara satu sama lain dan membina sebuah masyarakat yang lebih harmoni,” katanya.
Beliau berharap video muzik tersebut dapat menyebarkan keceriaan perayaan, memupuk sikap saling menghormati serta mengingatkan semua bahawa kekuatan terbesar masyarakat terletak pada perpaduan yang kukuh.
Oleh Adele Rissa