
SELANGAU: Usaha menjaga kebajikan mangsa banjir di daerah ini terus diperkukuh apabila bantuan makanan kering disalurkan kepada penduduk terjejas menerusi satu majlis penyerahan yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah Selangau, baru-baru ini.
Bantuan berkenaan melibatkan mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta penduduk di kawasan yang terputus hubungan lebih 48 jam susulan banjir akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Secara keseluruhan, seramai 63 Ketua Isi Rumah (KIR) ditempatkan di PPS, manakala 1,027 KIR dikenal pasti terjejas akibat terputus hubungan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang merakamkan penghargaan kepada Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Selangau atas tindakan pantas serta komitmen berterusan dalam menyelaras pengurusan bencana banjir di kawasan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak dan Petroliam Sarawak Berhad (Petros) atas sumbangan serta sokongan yang diberikan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa banjir.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Sarawak dan Petros atas sumbangan bantuan banjir kepada rakyat di Selangau,” katanya.
Selain itu, beliau turut memuji peranan Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang bertindak pantas menyalurkan maklumat awal berkaitan situasi banjir di kawasan masing-masing, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, penduduk yang mengalami kerosakan harta benda khususnya kenderaan dinasihatkan supaya membuat laporan segera bagi tujuan tuntutan insurans.
Sebarang kejadian tanah runtuh di kawasan rumah panjang atau perumahan juga diminta dilaporkan segera kepada Pejabat Daerah Selangau bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Gira menegaskan komitmennya untuk terus bersama rakyat, khususnya ketika berdepan musibah banjir, serta akan terus memantau situasi semasa dengan kerjasama Pejabat Daerah dan agensi berkaitan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang bantuan tambahan daripada pihak kerajaan atau swasta akan dimaklumkan kepada penduduk dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi.
Hadir sama Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta; Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan; Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias; wakil agensi kerajaan serta Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Selangau.
Oleh Tarani Lanting