
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, di kediaman rasmi, Kasuma Resort, pagi tadi.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Hanifah Taib; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dato’ Indera Dr. Nor Azimi Yunus; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari serta Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Veronica Lugah.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, Tun Wan Junaidi telah mengutarakan beberapa isu kritikal khususnya berkaitan pembangunan infrastruktur perubatan serta pengukuhan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan integrasi teknologi digital dalam sistem rekod perubatan di samping keperluan pembinaan klinik kesihatan di lokasi strategik, khususnya di kawasan luar bandar, bagi memudahkan akses rakyat tempatan.

Selain itu, penekanan juga diberikan kepada penyediaan wad rawatan serta penempatan pegawai perubatan bagi memastikan pesakit yang memerlukan rawatan segera dapat diberi perhatian sewajarnya.
Menurut Tun Wan Junaidi, usaha berkenaan amat penting bagi memastikan rakyat Sarawak, terutamanya di kawasan pedalaman, memperoleh akses kepada perkhidmatan kesihatan yang saksama dan berkualiti, selaras dengan agenda reformasi sistem kesihatan negara.
Dalam kunjungan tersebut, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut menerima taklimat daripada Dr Dzulkefly mengenai status terkini projek-projek pembangunan hospital dan klinik kesihatan di seluruh Sarawak, termasuk Hospital Petra Jaya yang dijangka siap pada tahun ini serta Pusat Kanser Sarawak, selain inisiatif memperkukuh perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar.
Tun Wan Junaidi berharap agar hubungan kerjasama yang erat antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan Sarawak akan terus diperkasakan demi meningkatkan infrastruktur serta taraf kesihatan rakyat Sarawak ke arah yang lebih baik.