
KABONG: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Bahagian Betong dengan kerjasama Magna Focus Sdn. Bhd. telah menyalurkan bantuan dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM80,000 kepada lima penerima dalam Majlis Penyerahan Cek Projek CSR Bahagian Betong 2025 di Pusat Khidmat ADUN Kabong, petang tadi.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, yang turut dihadiri Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Morris Nayup, pegawai pendidikan, pemimpin masyarakat serta wakil-wakil penerima sumbangan.
Dalam ucapannya, Chee Kadir merakamkan penghargaan kepada JTS Bahagian Betong serta Magna Focus Sdn. Bhd. atas inisiatif menyalurkan sumbangan CSR kepada komuniti setempat.
Beliau menegaskan program ini menunjukkan jabatan kerajaan bukan sahaja menjalankan tugas rasmi tetapi turut memikul tanggungjawab moral untuk memberi kembali kepada masyarakat.
Beliau menambah, dana CSR yang disalurkan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan bersama, termasuk menambah baik kemudahan awam seperti fasiliti jeti nelayan Kampung Kabong dan menyokong pembangunan serta keperluan sekolah.
Chee Kadir juga menekankan bahawa usaha ini mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta memberi manfaat jangka panjang kepada anak-anak sebagai pewaris masa depan.
Sumbangan pada majlis tersebut diagihkan kepada lima penerima iaitu Persatuan Nelayan Kawasan Kabong (RM10,000), Tabika KEMAS Kampung Sungai Benang (RM10,000), Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong (RM20,000), SK Haji Junid Gerigat (RM20,000) dan SK Kampung Alit (RM20,000).
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan program pembangunan bukan sahaja bergantung kepada sumbangan kerajaan, tetapi juga memerlukan kerjasama erat pemimpin masyarakat, pihak sekolah, ibu bapa dan seluruh komuniti.
Majlis berakhir dengan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta harapan agar sumbangan ini memberi manfaat besar dan berterusan kepada sekolah-sekolah dan penduduk Kabong.
Oleh Adi Safarman