
GEDONG: Masa perjalanan dari Kuching ke Betong dijangka dapat dipendekkan kepada kira-kira satu jam 20 minit apabila keseluruhan rangkaian jalan baharu di Sarawak siap sepenuhnya kelak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata laluan baharu sepanjang kira-kira 120 kilometer (km) akan menghubungkan Kuching ke Sri Aman dengan tempoh perjalanan sekitar satu jam.
Katanya, perjalanan dari Sri Aman ke Betong pula hanya mengambil masa kira-kira 20 minit, termasuk melalui projek Jambatan Batang Lupar 2 yang sedang dalam pembinaan.
“Apabila semua projek ini siap, perjalanan dari Kuching ke Betong akan menjadi jauh lebih singkat,” katanya ketika sidang media selepas lawatannya ke tapak pembinaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong Baru, hari ini.
Menurut beliau, jaringan jalan dan kemudahan logistik yang semakin baik itu dijangka memberi kesan besar terhadap corak penempatan rakyat, khususnya mereka yang bekerja di Kuching.
Beliau berkata, orang ramai tidak lagi perlu tinggal di bandar kerana jarak perjalanan dari kawasan luar bandar kini semakin dekat dan mudah.
“Situasinya sama seperti di Semenanjung, di mana ramai bekerja di Kuala Lumpur tetapi memilih menetap di Seremban,” katanya.
Abang Johari turut menjelaskan kawasan seperti Kota Samarahan dan Gedong berpotensi berkembang sebagai kawasan kediaman baharu susulan pembinaan jalan pesisir serta laluan baharu dari Petra Jaya ke Beliong dan seterusnya ke kawasan pesisir.
Selain itu, Gedong akan dihubungkan dengan rangkaian jalan berkembar dari Munggu Kopi, Serian hingga ke Rembus di Samarahan.
Beliau berkata projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) juga akan melalui laluan Rembus ke Samarahan sebelum disambung ke IJN dan Tanjung Embang.
“Dengan pembangunan ini, Gedong dijangka berkembang sebagai bandar satelit kepada Kuching,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat