
GEDONG: Kerajaan Sarawak memperkenalkan penggunaan panel solar dalam projek Skim Pembedaran Kampung (SPK) Gedong sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi penjimatan bil elektrik jangka panjang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek perintis itu menggunakan teknologi pembinaan baharu dan dilengkapi sistem panel solar yang membolehkan tenaga elektrik dijana daripada bumbung rumah sebelum disalurkan ke grid utama Sarawak Energy Berhad (SEB).
Beliau berkata, nilai tenaga yang dijana melalui panel solar akan ditolak terus daripada jumlah bil elektrik bulanan pemilik rumah.
“Sebagai contoh, jika tenaga solar yang dijana bernilai RM180 dan bil elektrik keseluruhan ialah RM250, pemilik rumah hanya perlu membayar RM70 sahaja. Ini memberi penjimatan berterusan kepada pemilik rumah dalam jangka panjang,” katanya ketika sidang media selepas lawatannya ke SPK Gedong, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kos pemasangan panel solar dianggarkan sekitar RM30,000, namun kerajaan Sarawak menyediakan subsidi RM15,000 bagi projek khas SPK.
Harga asas rumah SPK Gedong ditetapkan pada RM150,000 dan meningkat kepada RM165,000 sekiranya dilengkapi panel solar, namun kerajaan turut menanggung deposit RM10,000, menjadikan harga akhir yang perlu dibayar pembeli hanya RM155,000 bagi satu unit rumah tersebut.
Abang Johari menjelaskan, pemasangan panel solar adalah bersifat pilihan, namun mereka yang tidak mengambil kemudahan itu akan kehilangan peluang penjimatan jangka panjang.
Untuk projek SPK Gedong, sebanyak 50 unit rumah akan dibina di bawah Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), dengan 25 unit dilengkapi panel solar pada peringkat awal, manakala baki unit boleh dipasang mengikut permintaan pembeli.
Beliau berkata, projek berkenaan mencatat penarafan 92.96 peratus oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sekali gus mencerminkan kualiti pembinaan yang tinggi.
Tambah beliau, skim subsidi panel solar itu hanya ditawarkan bagi projek perumahan khas SPK dan tidak melibatkan perumahan biasa.
Oleh Shahrul Qaizat