
LIMBANG: Majlis Pemuafakatan Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang memberi penekanan terhadap amalan pencegahan bagi membanteras kes buli dan gangguan seksual dalam kalangan pelajar.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, majlis berkenaan turut disertakan dengan Pelancaran Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBDK) 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Limbang yang berlangsung di Dewan Utama As-Syafie sekolah itu, semalam.
Menurut beliau, selain isu buli dan gangguan seksual, program tersebut turut memberi fokus kepada Pendidikan dan Keselamatan Jalan Raya oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), serta bahaya dan penyalahgunaan narkotik oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
“Pendidikan dan Keselamatan Jalan Raya (JSPT), Bahaya serta Penyalahgunaan Narkotik (JSJN), serta Kempen Hentikan Buli dan Gangguan Seksual (JSJ) dilaksanakan sebagai pendekatan pencegahan holistik bagi menangani gejala sosial dalam kalangan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Limbang, Matzinan Wahit; Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang, DSP Peter Jumat; Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Agama Limbang, Annuar Naim; serta tetamu jemputan lain.
Seramai 374 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam SMK Agama Limbang turut hadir memeriahkan program berkenaan.
Oleh Adeng Edrus