KUALA LUMPUR: Kelapa sawit akan kekal sebagai komoditi utama negara dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) tidak berhasrat untuk menggantikannya dengan tanaman buluh.
Sehubungan itu, kementerian akan terus memperkasakan lagi industri sawit dengan kajian teknologi terkini selain melaksanakan langkah seperti memperluaskan pasaran di luar negara.
Malah, kementerian itu juga akan terus mempelbagaikan produk nilai tambah makanan berasaskan sawit di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai kajian manfaat komoditi itu kepada dunia.
“Pada masa sama, MPIC turut meneroka peluang dan potensi buluh sebagai satu lagi komoditi yang boleh dibangunkan selain komoditi sedia ada,” demikian menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Negara di sini, semalam.
Ini bagi menjawab soalan Senator Idris Ahmad mengenai usaha MPIC menjadikan industri buluh sebagai antara industri utama negara.
Terdahulu, Timbalan Menteri II, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) giat menjalankan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan bagi menghasilkan tanaman berkualiti dan berhasil tinggi yang dapat menyumbang ke arah peningkatan produktiviti sawit negara.
Antara hasil kajian bahan tanaman sawit terkini MPOB adalah Palm Series 1.1 (PS1.1) yang mempunyai ciri unggul pokok renek iaitu kadar pertambahan ketinggian tahunan kurang daripada 40 sentimeter setahun.
“Baka ini adalah 20 peratus hingga 25 peratus lebih rendah daripada baka kacukan Dura x Pisifera (DxP) semasa yang dapat memudahkan lagi proses penuaian.
“Dari segi hasil, baka ini mampu mencapai pengeluaran hasil buah tandan segar (BTS) 35 tan per hektar setahun dengan kadar perahan minyak sehingga 27 peratus manakala hasil minyak sekitar 8 tan sehektar setahun,” katanya.
Wee berkata skala pengeluaran dan penanaman bahan tanaman PS1.1 masih di peringkat awal dengan kapasiti pengeluarannya sebanyaj 50,000 biji benih setahun.
Beliau berkata sekitar 80 peratus daripada pengeluaran biji benih adalah untuk kegunaan MPOB bagi perladangan komersial dan penyelidikan manakala bakinya untuk pasaran tempatan terutamanya pekebun kecil.
Keluasan tanaman baka PS1.1 sehingga kini adalah sekitar 70 hektar merangkumi penanaman di kawasan ladang usaha sama MPOB dan industri, katanya.
Malah, Wee berkata, keluasan tanaman itu juga dijangka meningkat dalam beberapa tahun akan datang.- Bernama