“Sayang kami kepada Sungai Tian seperti menyayangi kampung,” kata pemangku ketua kaum Kampung Pinak, Tian, Matu, Rosli Ghani.
Sungai Tian umpama nadi kehidupan dan banyak berjasa kepada penduduk kampung sejak pemerintahan Kerajaan Brooke, kata Rosli, 70, kepada pemberita baru-baru ini.
Justeru sungai itu, katanya, perlu dipulihara supaya fungsi dan peranannya seperti pada zaman pemerintahan Kerajaan Brooke sungguhpun kebanyakan penduduk kampung kini menggunakan jalan raya.
“Walaupun penduduk daerah Matu dan Kampung Tian kini lebih selesa menggunakan jalan raya untuk bergerak, namum Sungai Tian tidak harus dibiarkan ditumbuhi semak hingga menutup permukaan sungainya,” tegas beliau.
Daerah Matu termasuk Kampung Tian mula dihubungi jalan raya ke daerah Daro pada 1992. Jalan raya berturap itu sepanjang 28 kilometer dan perjalanan dengan kenderaan mengambil masa tidak sampai setengah jam.
Mengimbas sejarah Sungai Tian, ia banyak meninggalkan nostalgia kepada mereka yang menggunakannya. Bagaimanapun tidak bagi kebanyakan generasi dewasara ini yang langsung tidak mengenali kesusahan menyusuri sungai untuk sampai ke rumah.
Untuk menghidupkan kembali nadi sungai itu dan tidak mahu ‘ditutupi’ semak samum, penduduk Kampung Tian baru-baru ini bergotong royong membersihkannya.
“Semak yang ‘menutup’ sungai ini perlu dibersihkan setiap tahun dan kali terakhir ia dibersihkan ialah pada 2018. Selama lebih dua tahun sungai ini tidak bersihkan semaknya semakin menebal dan langsung tidak kelihatan seperti sebatang sungai,” kata Rosli
“Setelah lima ketua kaum di Kampung Tian (Tian Hilir, Tian Tengah, Tian Pinak, Tian Kebuaw dan Tian Padang) berunding, kami memutus untuk berjumpa dengan mantan Ahli Parlimen Igan dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Matu-Daro (Jemoreng), Datuk Abdul Wahab Dolah untuk mendapat nasihat daripada beliau.
“Atas budicara Datuk Wahab, beliau menasihatkan kami supaya bergotong royong membersih Sungai Tain,” tambahnya.
Menurut Rosli, pada mulanya Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan Majlis Daerah Matu Daro bersetuju untuk membersih sungai yang hampir ‘ditutup’ oleh semak itu pada September 2018.
“Bagaimanapun ia tidak dilaksanakan sehingga penduduk kampung secara bergotong royong membersihkannya. Alasan yang pihak berwajibkan berikan kerana wabak pandemik Covid-19. Jika itu alasannya, kenapa pula kerja-kerja membersih Sungai Bawang dan Sungai Jemoreng dapat dilaksanakan pada Julai lepas.
Beliau berkata, adalah tidak masuk akal untuk membersih Sungai Bawang dan Sungai Jemoreng terlebih dahulu kerana Sungai Tian hingga ke Sekaan adalah saliran utama atau sebagai nadi pergerakan air sungai dari hulu mengalir ke laut.
“Secara logiknya, jika Sungai Tian dibiarkan penuh dengan semak semum tidak ada maknanya membersih Sungai Bawang atau Sungai Jemoreng terlebih dahulu. Kami mengucap terima kasih kepada Datuk Wahab kerana sudi menyedia keperluan bagi menjayakan program gotong royong itu,” katanya.
Sementara itu, mantan ketua kaum Kampung Kebuaw, Ahmad Rosli, 64, berkata, Sungai Tian itu perlu dibersihkan setiap tahun dan jika tidak dibersihkan setiap tahun pasti ‘ditutupi’ oleh semak.
“Sungai Tian perlu dibersih supaya laluannya mudah digunakan oleh penduduk kampung untuk menarik batang rumbia yang diperolehi dari sekitar kawasan tebing sungai dan untuk keperluan hidupan air seperti ikan.
“Sungai ini harus dibersihkan untuk mempercepatkan air mengalir. Sekarang sudah nak hampir musim terkujuh. Jika sungainya ‘tertutup’ pasti air sukar mengalir dan ini kemungkinan mencetuskan banjir. Di sungai ini juga kami memperolehi rezeki.
“Sebelum banjir melanda, ada baiknya kita buat persediaan lebih awal. Menyingkap sejarah, Sungai Tian adalah nadi perhubungan bagi penduduknya. Sungai ini dijadikan laluan utama bagi penduduk kampung bergerak dan mencari makan dan ke kebun.
“Disebabkan sekarang sudah ada jalan raya, sungai ini semacam dibiarkan. Kami tidak mahu sungai ini menjadi sungai ‘mati’. Sungai yang banyak meninggalkan sejarah ini harus dipertahankan untuk tatapan generasi akan datang.
“Sungai Tian harus sentiasa bersih untuk mengelak pencemaran. Saya turut berasa khairan, kenapa pihak terbabit memutus untuk membersih Sungai Bawang dan Sungai Jemoreng terlebih dahulu.